disebalik itu...

Sunday, January 9, 2011

Didik anak dari alam rahim

SETIAP pasangan pasti mendambakan keluarga yang dibina sentiasa bahagia. Bukan mudah kerana setiap pasangan pasti pernah diduga dengan zaman sukar dan mencabar.
Kebahagiaan yang ingin digapai memerlukan pengorbanan yang didasari nilai agama serta moral yang tinggi.

Realitinya, ramai kalangan ibu bapa gagal mendidik anak mereka lantaran sikap yang tidak mengambil berat soal budi, toleransi, persefahaman serta budaya hormat menghormati dalam kehidupan mereka.
Itulah punca pelbagai konflik rumah tangga yang akhirnya memecah belahkan institusi keluarga. Jika tiada ilmu dan perubahan diri, pasti tiada jalan keluar mengecapi nikmat kebahagiaan.

Dalam Islam terdapat tiga peringkat mencapai kebahagiaan alam rumah tangga iaitu sakinah, mawadah dan rahmah. Sakinah bermaksud ketenangan, ketenteraman serta kedamaian jiwa. Maka, setiap pasangan suami isteri perlu menjalankan perintah Allah bersungguh-sungguh. Rasulullah s.a. w mengungkapkan 'Baiti jannati' iaitu rumahku adalah syurgaku. Ia adalah ungkapan tepat untuk membsentuk rumah tangga dan keluarga yang ideal.

Atas matlamat itu, Surau Al-Ikhwan, Taman Samudra, Batu Caves, Selangor mengadakan seminar Keluarga Sakinah, baru-baru ini.
Seramai 80 peserta mengikuti beberapa siri kuliah dan bengkel perunding Fokus Budi, Ustaz Sabri Abdul Rani.

Antara modul yang diketengahkan ialah seni kemahiran mendidik, musyawarah, panduan perubahan sikap, ibu bapa guru pertama dan panduan daripada Rasul.
Sabri berkata, setiap individu bertanggungjawab menentukan corak, hala tuju dan destinasi terbaik buat diri mereka.

"Dalam membentuk peribadi anak, ia bermula sejak dalam kandungan (alam rahim).

"Ketika ini ayah dan ibu elak daripada bercakap sesuatu yang negatif sehingga boleh menjejaskan perasaan pasangan masing-masing.

"Ketika hamil, suami perlu membantu menjaga emosi isteri," katanya.

Beliau berkata, zaman ini ramai ibu bapa terlepas pandang kepentingan masa berkualiti bersama keluarga.

"Kasih sayang yang rapuh menyebabkan kelonggaran dalam pembinaan keluarga bahagia.

"Perkara berkenaan disebabkan oleh masa yang terlalu banyak dikorbankan untuk kepentingan 'survival' sehingga membataskan waktu bersama anak. "Jadi, di celah kesibukan itu pastikan ada ruang untuk bertemu, bermesra dan berbincang di antara ibu bapa serta anak-anak. Lakukan solat berjemaah bagi mengikat kasih sayang," katanya.

Katanya, ibu bapa perlu mempelbagaikan karakter supaya dapat mengubah watak anak mengikut situasi dan keadaan.

"Setiap individu perlu meletak dirinya dalam keadaan terbaik di mata dan di hati ahli keluarga.

"Bagi menjaga hubungan suami isteri, jangan tinggal solat jemaah, panggil pasangan dengan panggilan baik serta elak meninggalkan pasangan untuk tempoh yang lama," katanya.

Sementara itu, pengarah program itu, Muzammir Bakri, berkata pembentukan ummah yang cemerlang bermula dari didikan di rumah.

"Keruntuhan sistem keluarga akan memecahbelahkan masyarakat. Justeru, program ini mampu menyuburkan kembali peranan ibu bapa dalam memberi perhatian serta belaian kasih sayang kepada anak-anak mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment