Soalan:
BARU-BARU ini saya ada dengar kawan saya berkata, ayam yang dia beli adalah ayam yang diternak dengan mendengarkan ayam itu al-Quran.
Mohon ustaz jelaskan pandangan Islam mengenai perbuatan memasang ayat-ayat suci al-Quran direban-reban ayam bagi membolehkan ayam membesar dengan mendengar al-Quran.
Jawapan:
Sebelum saya menyatakan hukum perbuatan memasang cakera padat ayat-ayat suci al-Quran direban-reban atau dikandang-kandang ternakan eloklah kita sama-sama memahami tujuan al-Quran diturunkan kepada manusia sejagat.
Adalah tidak wajar meletakkan al-Quran pada tahap yang rendah dengan mendengarkannya kepada binatang ternakan.
Walaupun tidak ada nas yang menghalang dan tidak ada nas yang menyuruh maka persoalan ini adalah mutlak tidak ada yang mengikatnya kepada sesuatu hukum.
Namun demikian saya berpendapat ada baiknya kalau kita sama-sama teliti tujuan Allah SWT menurunkan al-Quran kepada manusia.
Asanya yang paling utama adalah al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi mengeluarkan manusia dari kejahilan kepada cahaya keimanan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Alif, Laam, Raa'. ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan Dia kepadamu (Wahai Muhammad), supaya Engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - Dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji. (Ibrahim: 1 )
Sebelum perutusan Nabi SAW dan penurunan al-Quran manusia sudah hilang hala tuju kehidupan, sebahagiannya tidak lagi memperlihatkan sifat kemanusiaan malah sudah hampir malah sudah pun ada yang menjadi haiwan bertopeng manusia.
Oleh itu, kedatangan Nabi SAW sebagai pembawa rahmat dan al-Quran sebagai kitab manual untuk panduan manusia adalah tepat pada saat dan ketikanya. Manakan tidak kalau dibiarkan mereka terus dengan sistem hidup jahiliah pasti sukar diubati.
Maka inilah yang dimaksudkan dengan mengeluarkan manusia yang sudah hancur akhlak dan budayanya yang berpunca dari penyembahan selain Allah SWT, hidup dalam kegelapan kepada Islam, agama yang menyuluh kehidupan manusia kearah kejayaan di dunia dan akhirat.
Jika setiap di antara kita meneliti di awal-awal al-Quran lagi Allah SWT telah menegaskan bahawa al-Quran ini tiada keraguan padanya dan selayaknya menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa.
Apa yang menarik dalam awal firman Allah SWT dalam ayat adalah kitab ini (al-Quran) menjadi petunjuk bagi manusia yang bertakwa dan yang ingin memadu takwa supaya tergolong dalam golongan al-Muttaqun (golongan yang bertakwa), sehingga roh dan jasadnya dapat merasakan naluri yang sedar bahawa wujudnya Pencipta lantas tidak ingkar malah tunduk dan patuh dia kepada-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa. (al-Baqarah: 2).
Maksudnya al-Quran diturunkan sebagai panduan hidup manusia menuju menara takwa. Ini kerana manusia sahaja yang dituntut bertakwa manakala selain manusia tidak dituntut demikian.
Saya juga ingin tahu apa alasan mereka yang memasang bacaan ayat-ayat suci al-Quran di reban mahupun tempat-tempat penternakan yang lain.
Adakah untuk tujuan menghindar ayam-ayam itu dijangkiti penyakit? Atau untuk pembiakkan yang banyak? Atau dianggap ayam mendengar al-Quran adalah lebih baik dan berkat untuk dimakan?
Bagi memastikan ayam tidak dijangkiti penyakit perlu diberi suntikan yang sewajarnya, makanan yang bersih daripada unsur najis, reban yang bersih dan persekitaran yang bersih. Manakala untuk memastikan pembiakan yang banyak perlu patuh dan ikut tatacara pembiakan ayam.
Adapun 'dendangan' bahawa makan ayam yang dengar bacaan al-Quran adalah lebih baik dan berkat adalah suatu yang tidak wajar.
Justeru, bagi memastikan penternakan yang diusahakan berhasil lumayan, seharusnya setiap pengusaha menjaga beberapa perkara yang penting, antaranya.
Menjaga halal haram dalam memberi makanan ternakan, para pekerja menjaga batasan agama, jaga solat mengaji dan melakukan amalan-amalan sunat, seperti solat sunat dhuha, jual beli berlaku dalam transaksi yang sah mengikut jual beli Islam, perbanyakkan doa dan sentiasa gigih berusaha dengan penuh ketekunan dan kesungguhan.
Kalau ini semua diadun dengan hati yang tulus ikhlas saya yakin apa sahaja yang dikerjakan akan berhasil dan pengusaha tidak akan kecewa.
Ini kerana di sebalik kejayaannya itu adalah takdir Allah SWT yang menyebelahi dia kerana dia adalah hamba yang dikasihi penciptanya.
Secara mutlaknya, al-Quran diturunkan kepada manusia sejagat agar dengan ada kitab suci ini mereka mengambil iktibar dan panduan hidup.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai sekelian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (al-Quran sebagai) Nur (cahaya) Yang menerangi (segala apa jua Yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan Yang kekal di akhirat kelak). (al-Nisa': 174).
Jika al-Quran dipasang hendaklah didengar, tidak boleh dipasang kemudian dibiarkan tanpa ada orang yang mendengarnya.
Ini kerana Allah SWT memerintahkan kita diam ketika al-Quran dibaca. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan Dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat. (al-A'raf: 204).
No comments:
Post a Comment