disebalik itu...

Sunday, January 9, 2011

Dialog Nabi Hud dengan kaum 'Ad

NABI Hud menggunakan pelbagai cara untuk berdakwah kepada kaumnya. Antara cara yang digunakan ialah berdialog. Nabi Hud selalu mengajak kaum 'Ad untuk berdialog kerana baginda boleh membuat andaian dan penyampaian secara terus kepada mereka.

Tujuan Nabi Hud berdialog juga adalah mendorong mereka ke jalan yang benar dengan menyebutkan segala nikmat yang diberikan Allah selama ini.

"Apakah kamu berasa hairan apabila timbul nasihat dan peringatan daripada Tuhanmu yang disampaikan oleh seseorang daripada kaummu? Orang itu memperingatkan kamu tentang akibat buruk yang disebabkan oleh kesesatan-kesesatan yang kamu lakukan?

"Apakah kamu semua tidak terasa dan lupa sama sekali bahawa Allah menjadikan kalian pewaris-pewaris dunia ini selepas kaum Nuh yang dimusnahkan oleh Allah? Allah telah memberikan kelebihan, kekuatan dan kekuasaan kamu kepada mereka.

"Itu semua adalah nikmat yang Allah berikan kepada kamu supaya kamu beriman dan bersyukur. Namun begitu, kamu tetap tidak mahu bersyukur dan bersikap sombong diri".

Mereka masih ragu-ragu untuk menerima dakwah Nabi Hud. Mereka berasa berat hati untuk menerima perubahan dalam kehidupan dan agama.

Kemudian mereka berkata, "Wahai Hud, engkau belum mengemukakan hujah yang terang kepada kami, bagaimana kami mahu beriman denganmu? Kami sekali-kali tidak akan meninggalkan penyembahan kepada tuhan-tuhan kami. Kami juga tidak akan mengikut ajaran kamu itu. Kami tahu tuhan kami telah menimpakan penyakit gila ke atasmu."
Kata-kata mereka telah disangkal oleh Nabi Hud. Kata baginda, "Aku bersaksi kepada Allah tentang kebenaran ucapanku. Dan sesungguhnya aku bebas daripada kemusyrikan yang kamu amalkan." Kaum 'Ad tetap berdegil dan tidak mahu menurut kata-kata Nabi Hud.

"Kamu semua pasti akan menerima azab Allah. Tunggulah azab Allah itu nanti," kata Nabi Hud lagi.

No comments:

Post a Comment