Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar kerana ia merupakan pengukur keimanan seseorang, faktor penentu ciri umat yang terbaik dan penjamin kepada kesejahteraan umat keseluruhannya. Melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar merupakan tanggungjawab semua orang beriman mengikut kadar kemampuan masing-masing.
Penjelasan:
Melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar merupakan ukuran keimanan seseorang:
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan,
setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain;
mereka menyuruh yang ma’ruf dan melarang yang mungkar;
dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya.
Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[al-Taubah 9:71]
Juga berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Sesiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran,
hendaklah dia mengubahnya (mencegah dan menghentikannya) dengan tangannya.
Jika dia tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya.
Jika dia masih tidak mampu (maka ubahlah) dengan hatinya (dengan membencinya),
yang sedemikian adalah selemah-lemah iman.[1]
Sebaliknya melarang yang ma’ruf dan menyuruh yang mungkar adalah ciri-ciri orang munafik:
Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain;
mereka masing-masing menyuruh yang mungkar dan melarang yang ma’ruf,
dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut).
Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah
dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu,
merekalah orang-orang yang fasik.
[al-Taubah 9:67]
Melaksanakan Amar ma’ruf dan nahi mungkar merupakan faktor penentu ciri umat terbaik, berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia,
(kerana) kamu menyuruh melakukan kebaikan dan melarang daripada melakukan kemungkaran,
serta kamu pula beriman kepada Allah.
[Ali Imran 3:110]
Melaksanakan Amar ma’ruf dan nahi mungkar merupakan penjamin kepada kesejahteraan umat keseluruhannya, berdasarkan hadis:
Perumpamaan orang yang menegakkan perintah Allah
(Amar ma’ruf dan Nahi mungkar termasuk perintah Allah) dan orang yang jatuh ke dalam larangan Allah
ialah seperti satu kaum yang mengundi untuk mendapat tempat di dalam sebuah kapal.
Sebahagian daripada mereka mendapat tempat di tingkat atas manakala sebahagian lagi pada tingkat bawah.
(Ketika dalam pelayaran), apabila orang di tingkat bawah inginkan air,
mereka terpaksa pergi meminta kepada orang yang berada pada tingkat atas.
Lalu mereka (yang berada di tingkat bawah) berkata:
“Jika kita membuat lubang pada tingkat ini nescaya kita tidak perlu lagi meminta daripada orang di atas kita.”
Jika (mereka yang berada di tingkat atas) membiarkan mereka (orang di tingkat bawah)
melakukan apa yang mereka hendaki (melubangkan kapal),
pasti semuanya akan musnah (tenggelam).
Sebaliknya jika mereka (yang berada di tingkat atas) menahan dengan tangan mereka
(rancangan melubangkan kapal), pasti mereka (yang di tingkat atas) akan selamat
dan akan selamat juga semuanya (termasuk di tingkat bawah).[2]
Pendapat yang masyhur menyatakan pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar adalah Fardhu Kifayah, maka jika sebahagian umat Islam telah melaksanakannya, maka baki selainnya tidak lagi bertanggungjawab. Hukum Fardhu Kifayah disandarkan kepada dalil berikut:
Dan hendaklah (sebahagian) kamu menyeru (berdakwah) kepada kebajikan
dan menyuruh yang ma’ruf serta melarang daripada yang mungkar.
Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
[Ali Imran 3:104]
Sebenarnya wujud perbincangan di kalangan ilmuan, adakah ayat tersebut ditujukan kepada sebahagian umat Islam (Fardhu Kifayah) atau kepada semua umat Islam (Fardhu Ain)? Perbincangan tersebut telah dikupas dalam kitab-kitab tafsir, dimana ia dapat diringkaskan seperti berikut:
1. Ayat ini ditujukan kepada sebahagian umat Islam (Fardhu Kifayah) kerana perkataan (منكم) di permulaan ayat berperanan untuk mengecualikan, bermaksud “sebahagian daripada kamu”.
2. Ayat ini ditujukan kepada seluruh umat Islam (Fardhu Ain) kerana perkataan (منكم) di permulaan ayat berperanan untuk menegaskan atau memberi penekanan, bermaksud “hendaklah kamu”.
Antara dua perbincangan ini, dan Allah sahaja yang lebih mengetahuinya, saya cenderung kepada pendapat yang kedua bahawa ia ditujukan kepada semua umat Islam. Sebabnya:
1.
Ia selari dengan pelbagai ayat dan hadis yang lain, sebagaimana yang dikemukakan di atas, dimana semuanya ditujukan kepada umat Islam secara umum dan bukannya kepada kumpulan tertentu secara khusus.
2.
Ayat 104 surah ‘Ali Imran di atas diakhiri dengan “…Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” Menjadi tuntutan Islam agar semua umatnya mencapai kejayaan. Mustahil Islam hanya mengkehendaki sebahagian umatnya berjaya dan sebahagian lagi gagal. Maka pengakhir ayat menjelaskan siapa yang dimaksudkan pada awal ayat, iaitu semua umat Islam.
3.
Berusaha untuk menyampaikan kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan melarang daripada yang mungkar merupakan usaha semua para sahabat radhiallahu ‘anhum. Mereka hanya berbeza dari sudut bentuk usaha yang dilakukannya, sesuai dengan kemampuan dan bidang kepakaran masing-masing. Jika usaha ini hanya disandarkan kepada sebahagian orang sepertimana yang berlaku masa kini, maka timbullah tuding menuding, siapa yang patut buat dan siapa yang tidak buat. Akhirnya tiada siapa yang berbuat apa-apa.
Oleh itu pada analisa saya, pendapat yang lebih kuat adalah pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar adalah tanggungjawab semua orang beriman mengikut kadar kemampuan masing-masing.
No comments:
Post a Comment