disebalik itu...

Monday, December 27, 2010

Dunia yang paling aku sukai ialah WANITA YANG SOLEHAH.

Dunia yang paling aku sukai ialah WANITA YANG SOLEHAH.

Pada suatu ketika di Madinah, Rasulullah s.a.w. keluar mengiringi jenazah. Baginda mendapati beberapa orang wanita didalam majelis itu. Beliau lalu bertanya, "Adakah dari kamu mensholatkan mayat?" Jawab mereka,"Tidak". Sabda Baginda "Seeloknya kamu sekalian tidak perlu ziarah dan tidak ada pahala bagi kamu. Tetapi tinggalah di rumah dan berkhidmatlah kepada suami niscaya pahalanya sama dengan ibadat-ibadat orang lelaki.

Wanita yang memerah susu binatang dengan mengucap "Bismillah", akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.

Wanita yang menguli tepung gandum dengan mengucap "Bismillah", Allah akan berkatkan rezekinya.

Wanita yang menyapu lantai dengan "Berzikir" akan mendapat pahala seperti menyapu lantai di Baitullah.

"Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika membuat roti, Allah akan membinakan 7 parit di antara dirinya dengan api neraka, jarak di antara parit itu ialah sejauh langit dan bumi."

"Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang, Allah akan mencatatkan untuknya perbuatan baik sebanyak utus benang yang dibuat dan memadamkan seratus perbuatan jahat."

"Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang menganyam akan benang yang dibuatnya, Allah telah menentukan satu tempat khas untuknya di atas tahta di hari akhirat."

"Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang dan kemudian dibuat pakaian untuk anak-anaknya maka Allah akan mencatatkan baginya ganjaran yang sama seperti orang yang memberi makan kepada 1000 orang lapar dan memberi pakaian kepada 1000 orang yang tidak berpakaian."

"Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang meminyakkan rambut anaknya, menyikatnya, mencuci pakaian mereka dan mencuci akan diri anaknya itu, Allah akan mencatatkan untuknya pekerjaan baik sebanyak helai rambut mereka dan memadamkan sebanyak itu pula pekerjaan jahat dan menjadikan dirinya kelihatan berseri di mata orang-orang yang memperhatikannya."

Rasululluah SAW bersabda : "Ya Fatimah barang mana wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong misai dan mengerat kukunya, Allah akan memberi minum dia dari sungai-sungai serta diringankan Allah baginya sakaratul maut dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman daripada taman-taman syurga dan dicatatkan Allah baginya kelepasan dari api neraka dan selamatlah ia melintas Titian Shirat."

Jika suami mengajarkan isterinya satu masalah akan mendapat pahala 80 tahun ibadat.

Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumah tangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga, dan menunggu suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.

Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan datang sendiri kepada WANITA YANG MEMBERATI AURATNYA yaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah.

Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah.

Salah satu tanda keberkatan wanita itu ialah cepat perkahwinannya, cepat pula kehamilannya dan ringan pula maharnya (mas kahwin).

Sebaik-baik wanita ialah wanita (isteri) yang apabila kamu memandang kepadanya ia membahagiakan dirimu. Jika kamu memberi perintah, ditaatinya perintahmu (taat) dan jika kamu berpergian dijaganya hartamu dan dirinya (menjaga diri).

Subhanallah.... Andaikan ada Wanita yang Sholeh yang seperti itu.

Jannah di sebalik musibah (Ustaz Pahrol)

Untuk diriku, dirimu dan kita semua… ini satu pesanan ringkas dariku:

Allah lebih kasihkan hamba-Nya melebihi kasih seorang ibu kepada anaknya. Apabila si ibu sayangkan anak-anaknya, dia akan mengawal anak-anaknya daripada melakukan sesuatu yang boleh membahayakan walaupun sesuatu yang membahayakan itu sangat disukai oleh si anak. Misalnya, anak yang baru belajar merangkak, merangkak di tepi tangga. Dia akan menangis jika dihalang… Mengapa?

Fikiran si anak yang masih kecil tidak boleh menjangkau kebimbangan si ibu. Si anak hanya tahu hendak main sahaja, tanpa mengetahui bahayanya bermain di tepi tangga. Jangkauan fikiran sianak masih cetek dan pendek. Sebaliknya, siibu yang melarang dan menegah sudah nampak bahaya yang bakal berlaku.

Satu ketika yang lain, sianak sakit. Siibu menyuapkan ubat. Anak meluahkannya semula. Pahit. Tetapi puas ibu memujuk, itu ubat. Sianak masih berdegil, lalu siibu memaksa anak meminum ubat itu dengan cara yang lebih keras dan tegas.
Begitu kita dengan Allah (walaupun sebenarnya nisbahnya terlalu jauh). Akal manusia adalah terbatas. Sedangkan ilmu Allah Maha luas. Begitu apabila Allah menetapkan sesuatu peraturan dan kejadian, pasti ada hikmah di sebaliknya. Kekadang, hikmah itu mampu dijangkau oleh fikiran dan adakalanya tidak.

Namun contohilah orang beriman. Apabila Nabi saw menyampaikan perintah Allah, para sahabat akan terus berkata, “kami taat dan kami patuh” walaupun adakalanya perintah itu sangat sukar dan pahit. Dan apabila berlaku satu musibah, para sahabat akan berkata, “telah berlakulah janji Allah.” Mereka bukan insan tanpa perasaan dan fikiran, tetapi apabila iman mendominasi hati, fikiran dan perasaan dipaksa tunduk kepada ketentuan Ilahi.

Bila datang perintah, orang beriman akan memberi respons yang telah digambarkan oleh Allah menerusi firman-Nya:

“Hanyasanya ucapan orang beriman apabila diperintahkan melakukan sesuatu ialah kami dengar, kami taat.”

Manakala apabila mereka ditimpa musibah mereka akan berkata:

“Mereka yang apabila ditimpa musibah akan berkata, kami milik Allah kepada-Nyalah kami akan dikembalikan.”

Mereka yakin setiap perintah Allah seperti solat, puasa, sabar dan sebagainya itu semuanya bermaksud baik belaka. Dan mereka juga yakin setiap musibah seperti kematian, kesakitan, kegagalan, kemiskinan dan sebagainya, pasti ada hikmah di sebaliknya. Justeru, jika kita ingin menteladani mereka, paksalah diri supaya akur dengan setiap perintah dan menerima dengan sabar setiap musibah. Yakinlah, bahawa Allah swt inginkan keselamatan dan kebahagiaan buat kita dengan segala perintah dan musibah-Nya.

Namun begitu, mengapakah masih ramai manusia yang tidak patuh pada perintah dan tidak sabar dengan musibah? Ini semua kerana kurangnya ilmu dan lemahnya iman. Dengan ilmu kita sedar setiap musibah ada hikmahnya. Dengan iman kita boleh menteramkan hati dengan mengingati Allah. Bagi orang-orang yang benar-benar beriman, apa sahaja yang datang daripada Allah adalah baik walaupun buruk pada pandangan diri mereka sendiri. Mereka beriman dengan apa yang Allah swt tegaskan dalam sebuah hadis Qudsi:

“Wahai anak Adam, jika engkau sabar dan mencari keredhaan pada saat musibah yang pertama, maka Aku tidak meredhai pahalamu selain syurga.”(HR Ibnu Majah (no: 1597)

Tidak salah bersedih dengan musibah. Tidak salah terasa menderita sewaktu mentaati perintah Allah. Namun jangan membantah dengan sombong. Dan jangan bersedih secara keterlaluan. Apakah kita tidak yakin lagi Allah Maha Mengasihi dan Maha Mengetahui?

Alangkah malangnya sianak yang meluahkan ubat yang disuapkan ibunya… Namun lebih malang lagi seorang hamba yang menolak hikmah musibah yang “dihadiahkan” oleh Tuhannya! Dia akan menderita dua kali. Pertama, menderita oleh musibah itu. Kedua, oleh terluput dan tercabutnya hikmah di sebalik musibah itu.

Justeru, jika sekarang aku, kau dan kita dilanda musibah… cubalah tersenyum (walaupun pedih amat), kenang-kenangkan bujukan Allah. Mudah-mudahan kita mendapat jannah (syurga) di sebalik musibah ini! Amin.
Wallahua’lam


Kejahatan itu bukan satu kebetulan (Ustaz Pahrol)

Kejahatan itu bukan satu kebetulan. Ia adalah satu kebiasaan yang terbentuk perlahan-lahan, tahap demi tahap. Pertama kali terbuat dosa, hati akan diburu rasa bersalah. Jiwa resah kerana diri menentang fitrah. Kesalnya bukan main. Sesalnya sungguh merimaskan. Rasa bersalah itu memang resah. Benarlah seperti yang sering diungkapkan, bila manusia berdosa dia bukan sahaja nenentang Allah tetapi juga menentang dirinya sendiri.

Namun rasa berdosa itu tidak lama. Jika dosa yang sama dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya… rasa bersalah itu akan hilang. Sedikit demi sedikit. Lalu akhirnya, hati itu telah terbiasa dengan dosa. Rasa bersalah tidak muncul lagi. Ia sirna dimamah oleh dosa demi dosa. Jika dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan dan penyesalan… tetapi di tahap kedua ini, tiada air mata lagi. Alah bisa tegal biasa. Hati telah tega untuk berdosa.

Dosa itu racun yang disalut kemanisan. Dosa yang dilazimi tidak akan terhenti kesannya pada hati. Dari tahap terbiasa dengan dosa, kederhakaan meningkat lebih parah lagi. Tibalah hati pada tahap ketiga, yakni seronok dan rasa indah dengan dosa. Diri sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukannya. Rasa ketagih dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran, mencengkam hati dan diri. Racun dosa terasa nikmatnya. Tiada lagi rasa bersalah. Bisa dosa yang terbiasa menjelma menjadi fatamorgana nikmat yang tiada taranya.

Nafsu tidak pernah puas. Kehendaknya tiada batas. Syaitan tidak pernah tidur. Usahanya tidak pernah kendur. Lalu apabila syaitan meluncur laju di lebuhraya nafsu, diri yang seronok dengan dosa itu dirasuk untuk ’maju’ setapak lagi. Itulah tahap ke-empat yang lebih dahsyat dan sesat. Keseronokan dosa menjadi siberdosa itu menjadi pembela dan pejuangnya. Dosa dipromosi dan dihiasi sebagai jalan kebenaran dan denai keindahan. Jangan ada pembela agama yang bercakap tentang akhirat dan kiamat… pejuang dosa itu pun bangun menentangnya dengan seluruh upaya dan kudrat. 

Justeru wahai diri, berhati-hatilah dengan dosa. Jangan tertipu oleh kecil atau remehnya suatu kederhakaan. Ingat, tusukan dosa bukan seperti belati yang membunuh tiba-tiba, tetapi ia umpama api dalam sekam yang membara dalam diam. Ketelanjuran kali pertama jangan disusuli oleh kesengajaan kali kedua. Kelak akan menyusul perancangan dan perjuangan atas nama dosa.

Wahai diri… ketika rasa bersalah singgah di dalam hati pada kali pertama kau berdosa, ketahuilah itu adalah ’peringatan’ yang Allah bekalkan secara tabii untuk menjaga fitrah insani. Itu petanda yang hatimu masih hidup. Penyesalan itukan syarat taubat? Maka susulilah dengan syarat kedua dan ketiga (jika dosa itu dengan Allah). Jika dosa itu dengan manusia, tambahlah lagi dengan syarat yang keempat. Tidak mengapa jika kau terlanjur lagi berdosa selepas itu. Bertaubatlah kembali. Hatimu akan hidup lagi. Selagi ada rasa bersalah, selagi itulah ada sarana untuk kembali kepada Allah. Jangan putus asa oleh taubat yang patah, kerana kasih-sayang Allah akan menumbuhkan taubat kali kedua, ketiga dan seterusnya.

Wahai diri, biarlah dirimu jatuh bangun, merangkak tegak, dalam taubat demi taubat yang tidak ‘menjadi’ berbanding larian dosa yang maju dan laju tanpa henti-henti. Lebih baik terbentur, daripada patah. Lebih baik hatimu selalu terdera oleh rasa berdosa sepanjang hayat, daripada tertipu oleh ‘nikmatnya’ yang menyebabkan siksa selamanya di akhirat.

Wahai diri, ingatlah… sekalipun kau terhijab daripada mengecapi nikmat ketaatan, tapi jangan sampai kau tertipu oleh nikmat kejahatan. Berhati-hatilah menjaga hati. Tidak mengapa kau selalu menangis kerana dosa… tetapi jangan sampai kau tersenyum kerananya! Ingatlah selalu, kejahatan yang menyebabkan kau menangis, lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur!

Saat berpisah (Ustaz Pahrol)

Sebaik-baik penasihat ialah kematian. Namun, mana mungkin orang yang pernah mati datang kepada kita untuk menasihatkan? Mengingatkan mati, menakutkan. Manusia akan takut pada apa yang tidak diketahuinya. 

Semuanya masih misteri. Hanya tinggal Al Quran dan Al Hadis untuk kita rujuk bagi mengetahui tentang kematian. Namun berapa kerat antara kita yang berbuat demikian… Cerita tentang kematian akan mematikan rasa kemanisan menikmati hidup ini. Dan akibatnya, mati terus mati dalam hidup kita!

Jika seseorang mengingati mati, akan mudah hatinya dilentur kepada makrufat dan makrifat. Jika mengingati kematian jiwa akan jeran dan bosan dengan maksiat dan sayyiat (perkara yang buruk). Jika mati itu hidup di dalam hati kita…kita akan mudah memberi dan meminta maaf. Kita akan mudah bersabar dan bertenang dengan karenah insan.  Nikmat dosa akan sirna dengan mengingati mati. Azab taat akan kecil bila teringat saat kembali.

Ketika hatimu jemu dengan ketaatan, mula tergiur dengan kemaksiatan… kenang-kenangkanlah SAAT BERPISAH

Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Kita datang tidak diminta, kita pulang tidak diduga. Bila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Bila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji… tiba masanya pasti kembali!

Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini? Padahal senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi. Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua. Kata mereka yang arif tentang kehidupan:

“Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan.”

Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki? Tidak ada. Justeru, hiduplah berpada-pada. Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman. Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi satu jambatan. Tidak sudi berlama-lama kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang justeru jiwanya sudah di seberang.

Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara. Sederhana itu bukan pada ringgit dan harta tetapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu gembira, jangan terlalu berdukacita.

Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul air mata. Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma. Allah memberikan kita terang… untuk bersyukur. Allah berikan kita gelap… untuk bersabar.

Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun masih digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa. Jatuh, bangun kembali. Jatuh, bangun lagi.

Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. Allah tidak akan jemu dengan taubat hamba-Nya selagi kita tidak putus asa kepada-Nya. Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah. Jangan mengalah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah.

Luruskan jalan menuju Tuhan dengan tulusnya hati sesama insan. Elakkan hasad, jauhi mengumpat. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. Ingat selalu kata hukama:

“Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya.”

Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan. Kata orang, Tuhan tidak mencipta manusia bodoh… Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza.

Justeru, carilah apakah “kebijaksanaan” itu kerana itulah saluran kita untuk berbakti. Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan dijemput maut… katalah pada diri, bila berdepan dengannya kita akan lupa segala-galanya. Kesayangan yang kita takutkan kehilangannya, kecintaan yang kita bimbangkan perpisahan dengannya, akan menjadi sedebu bila berdepan dengan detik itu.

Kita akan terlupa akan jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana memandangkan jalan yang lebih jauh merentang di hadapan. Nikmat dunia akan kita lupakan sebaik sahaja melihat azab di akhirat. Dan azab di dunia akan kita lupakan setelah melihat nikmat di akhirat.

Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran tetapi ia satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya proses perpindahan – dari alam dunia ke alam barzakh. Sama seperti kelahiran – proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.

Ya, kalau sanggup datang. Mesti sanggup pulang. Hati sewajarnya sentiasa merasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bukankah kita bertemu untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya… syurga!

Pada kita, cuma pasrah…

PASRAH Tuhan,
Pada Mu aku pasrah
akur, alah dan menyerah
Seluruhnya sudah pudar
cintaku kian tercalar

Tuhan,
Senjaku semakin dekat
Di sumur dosa aku melarat
di hujung umur kupasti kembali
sedang hatiku tak suci lagi

Tuhan,
Langkahku entahkan mati
mendaki kasihMu nan tinggi
namun cintaku bukan palsu
walaupun sering terganggu

Tuhan,
kekadang terasa sayang-Mu
bersama kurnia hidayah
kekadang terasa murka-Mu
seiring patahnya mujahadah

Tuhan,
terlerai ribuan taubatku
terungkai semua janjiku
kataku sering mungkir
CintaMu sering terpinggir

Tuhan,
Aku masih setia
mengemis di jendela usia
terus mencari wajah diri
menadah keampunan Ilahi!


Thursday, December 23, 2010

KEAJAIBAN AL-QURAN

سم الله الرحمن الرحيم

Pertama, biar kita ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Cendikiawan Ilmuan Islam Dr.Tariq Al Suwaidan yang diberi Allah ilmu yang sangat bermanfaat bagi menangkis 'kata-kata penafian' kafir laknatullah berhubung kerasulan Rasulullah Saw. Jika benarlah Rasulullah Saw itu bukan PESURUH ALLAH, bagaimanakah mungkin Baginda dapat menyusun Al-Quran dengan keindahan yang bakal didedahkan di bawah ini. Tiada yang mengajar Baginda Rasulullah Saw kecuali DIA Yang Maha Bijaksana lagi Maha Perkasa. Subhanallah!!!

Dalam Al Quran (bahasa Arab) sebutan LELAKI adalah 24X, begitu juga sebutan bagi WANITA juga sebanyak 24X. Yang lain-lainnya seperti di bawah ini:-
  1. Lelaki 24X / Wanita 24X
  2. Dunia 115X / Akhirat 115X
  3. Malaikat 88X / Syaitan 88X
  4. Hidup 145X / Mati 145X
  5. Orang Biasa 50X / Rasul 50X
  6. Iblis 11 X / Minta Perlindungan dari Iblis 11X
  7. Musibah (bencana) 75X / Bersyukur 75X
  8. Sedekah 70X / Kepuasan (yang menerima sedekah) 70X
  9. Orang Yang Sesat 17X / Orang Mati 17X
  10. Muslimin 41X / Jihad 41X
  11. Emas 8X / Kesenangan (Kekayaan) 8X
  12. Taat 114X / Sabar 114X
Dan cuba LIHAT angka di bawah, yakni jumlah perkataan ini yang disebut dalam Al-Quran dan hikmah ILMU-NYA kepada manusia:-
  1. Solat - 5X disebut Allah dalam Al-Quran (Kita diwajibkan solat 5 waktu sehari semalam)
  2. Bulan - 12X disebut Allah dalam Al-Quran (12 bulan dalam kalender)
  3. Hari - 365X disebut Allah dalam Al-Quran (jumlah hari bagi setahun)
  4. Lautan - 32X
  5. Tanah 13X
Mari kita lihat RAHSIA MATEMATIK yang didedahkan Allah bagi mereka yang mengkaji Al-Quran berhubung Keluasan Lautan dan Tanah. Jumlah keluasan ini juga adalah bersamaan dengan keluasan yang telah dihitung oleh para saintis barat pada zaman ini.

Lautan (32) + Tanah (13) = 45
% Keluasan Lautan di bumi adalah 32/45*100 = 71.111%
% Keluasan Tanah adalah 13/45*100 = 28.889%
% Keluasan Lautan + % Keluasan Tanah = 100%

Itu adalah antara sebahagian dari RAHSIA ALLAH dalam AL-QURAN berhubung keadaan bentuk muka bumi yang disembunyikan di dalam Al-Quran kecuali bagi mereka yang mahu berfikir dan menelitinya. TIDAK MUNGKIN ia sengaja diadakan Rasulullah Saw jika tanpa PETUNJUK ALLAH. Rasulullah Saw tidak pernah berpeluang bersekolah dan itu menjadikan Baginda sebagai seorang Buta Huruf dan tidak pantas menulis apa-apa. Allah Swt sengaja memelihara Rasulullah Saw dari sebarang ilmu persuratan (menulis dan membaca) sebelum datangnya Jibril a.s membawa wahyu (dengan perintah Allah Swt). Ini adalah kerana Allah mahu menjelaskan kepada manusia bahawa Al-Quran itu BENAR dari-Nya dan bukan sengaja diada-adakan Muhammad Saw kerana semua dari zaman Baginda hingga akhir zaman mengetahui Baginda tidak pantas menulis mahupun membaca. Jika masih ada yang BUTA dan ENGGAN mengakui kerasulan Rasulullah Saw sebagai Pesuruh Allah, sungguh mereka itu berada dalam kesesatan yang nyata. Minta dijauhkan Allah ia berlaku kepada kita, keluarga dan masyarakat.Nauzubillahiminzalik!!!

SUBHANALLAH...ALLAHUAKHBAR!!!

Sunday, December 19, 2010

Jika Semuanya Milik Allah.. Apakah Sebenarnya Yang Aku Ada ?


Suatu hari sang guru bertanya kepada murid-muridnya.
Siapa yang jadikan mata kita?
Mereka menjawab : Allah
Lalu sang guru katakan : Lalu apakah yang telah kita perbuat dengan dua biji mata ini ? Adakah sebagai alat untuk melihat perkara yang baik ataupun perkara yang jahat ?
Mereka : (terdiam)
Sang guru tambahi lagi : Apa yang akan jadi sekiranya penglihatan ini diambil oleh-Nya? Selama ini Allah memberi nikmat mata untuk melihat pemandangan yang cantik dan indah. Alam ini dilimpahi dengan pelbagai warna yang menarik hati serta pelbagai hidupan yang menghiasinya.
Suatu hari nanti... jika kita bangun. Alam ini terasa gelap dan pekat. Rupa-rupanya sudah hilang nikmat penglihatan yang diberikan. Sedangkan selama ini kita tidak bersyukur dengan pemberian-Nya. Adakah selepas ini baru hendak menyesal?
Cuba awak rasa lidah dengan menggunakan jari.
Mereka : (memegang lidah masing-masing)
Sang Guru berkata : Allah memberi rasa masam, masin, manis, pahit dan pelbagai lagi rasa yang berlainan melalui lidah.
Mereka kata : Ya Ustaz.. benar (masing-masing menganggukkan kepala).
Sang Guru berkata : Tetapi mengapa kita gunakan lidah untuk berkata kesat, memaki hamun dan berkata bohong? Bukankah dengan lidah ini kamu pernah menghina guru-guru yang mengajarkanmu? Bukankah dengan lidah ini kamu telah membentak dan menjawab kata-kata ibu dan ayahmu serta berkali-kali membohongi mereka berdua?
Bukankah sudah diperingatkan oleh Rasulullah s.a.w. agar menjaga lidah ? Bukankah kita perlu menjaga apa yang ada di antara 2 rongga mulut manusia iaitu lidah ? Dengan lidah ini juga boleh menyebabkan kita dicampakkan ke dalam neraka?
Mereka : (tertunduk dan perlahan-lahan mengalirkan air mata)
Cuba lihat dua tangan yang Allah beri, dan lihat baik-baik alangkah cantiknya kurniaan Allah.
Dia memberi tangan agar kita dapat merasa, memegang, menyentuh dan sebagainya.
Mereka : (melihat tangan masing-masing, diperhati telapak tangan sambik berfikir)
Sang guru berkata : Adakah kita sudah menggunakan tangan dengan betul? Bukankah ada tangan-tangan yang merosakkan meja sekolah? Memukul kawan? Menulis surat cinta? Mencuri ?
Mereka : Benar ustaz... ya Allah... ampunkanlah dosa kami....
Sang Guru : Allah memberi sepuluh jari tangan, sepuluh jari kaki dalam keadaan yang sempurna. Sudahkah kita menadahkan tangan meminta keampunan kepada-Nya? Menyatakan syukur terhadap-Nya atas segala nikmat yang tidak mampu ditulis hatta kering 7 lautan?
Mereka : (Air mata semakin meluncur laju). Ya Allah... Aku sudah banyak buat dosa kepada-Mu.. Aku sombong pada-Mu Ya Allah.....
Lihatlah pula kedua kaki yang dikurnia oleh Allah. Kita boleh berjalan, berlari, bergerak dengan mudah ke sana sini.
Mereka : (memegang kaki masing-masing sambil mengusap-usap jejari kaki).
Sang Guru : Lalu apa yang kita perbuat dengan kaki yang ada? Kita gunakan untuk ponteng sekolah, pergi ke tempat-tempat maksiat, menendang kawan dan sebagainya. Adakah itu tujuan kaki kita dijadikan?
Mereka : (Menutup mata sambil teresak-esak, semakin kuatlah jerit tangis memikirkan kesalahan yang telah dilakukan selama ini).
Sang Guru : Jika Allah ambil balik mata kepunyaan-Nya? Jika Allah tarik balik kaki yang dipinjamkan-Nya? Jika Allah hilangkan rasa pada lidah? Jika Allah ambil satu jari dari apa yang kita ada?
Wahai diri... engkau faqir dan Allah itu Maha Kaya. Maka mengapa engkau masih menyombongkan diri kepada-Nya?

Biodata Kolumnis

Ustaz Zul Roslan merupakan graduan Ijazah Sains Kemanusiaan dan Ilmu Wahyu UIAM. Beliau merupakan salah seorang panel agama iluvislam.com dan kini bertugas sebagai guru agama di Jabatan Agama Johor.

Wednesday, December 15, 2010

Hari Asyura’

Disunatkan kita berpuasa pada Hari Asyura’. Hari Asyura juga digelar Ayyamillah (Hari-hari Allah) iaitu hari-hari yang dinasabkan oleh Allah swt kepada diriNya. Allah swt telah menyuruh Nabi Musa as agar mengingatkan kaumnya tentang hari-hari tersebut dalam firmanNya : ﴿وَذَكِّرْهُمْ بِأَيَّامِ اللَّهِ﴾ bermaksud, “Dan ingatkanlah mereka tentang Hari-hari Allah”. Maksud Hari-hari Allah ialah Ayat-ayatNya dan nikmat-nikmatNya seperti selamatnya Nabi Musa as dan kaumnya dari kekejaman Firaun, terbelahnya Laut, tenggelamnya Firaun dan tenteranya yang zalim lagi mendustakan Allah swt, Al-Mann dan Al-Salwa yang diturunkan dari langit untuk Bani Israel dan nikmat-nikmat yang lain.


Dari hadis riwayat Muslim bebrunyi “إن عاشوراء من أيام الله..” bermaksud, “Sesungguhnya Asyura adalah dari Hari-hari Allah”. Dalam satu riwayat bermaksud, “… dengan nikmat Allah taala”.
Dalam setiap sempena Islam, merekacipta poster dan pelbagai bentuk promosi ibadat Islam boleh membantu menyebarkan Syiar Islam dan merubah penghayatan umat Islam kepada yang lebih baik. Ini sekaligus membina masyarakat Islam yang dicita-citakan untuk mendokong Ad-Daulah Al-Islamiyah yang dituju dan yang diperjuangkan oleh sesebuah Jamaah Islam.

Dalam satu hadis menyebut “هذا يوم عظيم يوم نجى الله فيه موسى وأغرق فرعون” bermaksud, “Hari ini adalah hari yang besar dimana Allaah menyelamatkan Musa dan menenggelamkan Firaun”. Sabdanya lagi “يوم صالح هذا يوم نجى الله بني إسرائيل من عدوهم” bermaksud, “Hari ini ialah hari yang baik dimana Allah menyelamatkan Bani Israel dari musuh mereka”. Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah saw bersabda“أظهر الله فيه موسى وبني إسرائيل على فرعون..” bermaksud, “Di hari tersebut (Asyura) Allah memenangkan Musa dan Bani Israel keatas Firaun”.يعني رمضان) وعن ابن عباس “ما رأيت النبي صلى الله عليه وسلم يتحرى صيام يوم فضله على غيره إلا هذا اليوم يوم عاشوراء، وهذا الشهر (البخاري Tidak aku melihat Nabi saw berusaha berpuasa melebihi hari-hari lain selain hari ini, iaitu hari Asyura dan di bulan ini iaitu bulan Ramadan”. Oleh itu hadis ini menunjukkan Hari Asyura merupakan hari yang paling afdhal untuk berpuasa selepas bulan Ramadan dan Hari Arafah.

Puasa di Hari Asyura menghapuskan dosa setahun. Ini adalah diantara anugerah Allah swt kepada manusia yang memang lumrah terdedah kepada kesilapan dan kelemahan. Allah swt menjadikan hari tersebut sebagai sebab untuk pengampunan dosa dan taubat.

Hari apakah kita disunatkan berpuasa Asyura ?

Kebanyakan Ulamak mengatakan sunat berpuasa pada Hari Kesepuluh bulan Muharram kerana Nabi saw berpuasa pada hari tersebut dan menyarankan kepada para Sahabatnya agar berpuasa sedemikian. Imam Al-Qurtuby berkata bahawa perkataan “Asyura” diambil dari perkataan Asyara bermakna “sepuluh” tapi dalam bentuk perkataan menunjukkan bersangatan (mubalaghah) dan mengagungkan (takzim). Ibnu Al-Munir mengatakan kebanyakan Ulamak mengatakan “Asyura” adalah Hari Kesepuluh. Rujuk juga kitab Fath Al-Bari. Malik, Ahmad, Ishaq dan lain-lainnya juga berpendapat demikian. Turut menyokong pandangan mereka adalah riwayat Ibnu Abbas ra ويؤيده ما رواه ابن عباس “أمر رسول الله صلى الله عليه وسلم بصوم عاشوراء يوم العاشر” (الترمذي: 755 حسن صحيح)، yang bermaksud, “Rasulullah saw menyarankan puasa Asyura iaitu Hari Kesepuluh” (hadis hasan sahih riwayat At-Tarmizi).

Ibadat puasa adalah salah satu tunggak Islam terpenting dalam membina rijal Dakwah dan generasi masadepan Islam yang gemilang.
Pendapat sebahagian Ulamak ialah berpuasa sunat pada Hari Kesembilan bulan Muharram berdasarkan riwayat dari Ibnu Abbas فقد سُئل ابن عباس عن صيام يوم عاشوراء فقال: إذا رأيت هلال المحرم فاعدد، وأصبح يوم التاسع صائمًا، قلت: هكذا كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصومه؟ قال: نعم (رواه مسلم: 1133 وأبو داود: 2446 والترمذي: 754 وأحمد: 1/239: 2135 صحيح) apabila ditanya tentang puasa Hari Asyura, dia berkata bermaksud, “Apabila kamu melihat anak bulan Muharram, kiralah hari-harinya dan jadilah seorang yang berpuasa pada Hari Kesembilan’. Aku bertanya, ‘Begitukah Rasulullah saw berpuasa?’. Dia menjawab, ‘Ya’’. (riwayat Muslim no 1133, Abu Daud no 2446, At-Tarmizi no 754, Ahmad no 239/1). Ibnu Al-Qayyim mengatakan yang disunatkan ialah Hari Kesembilan sahaja.

Pendapat sebahagian Ulamak ialah berpuasa pada kedua-dua Hari Kesembilan dan Hari Kesepuluh bulan Muharram berdasarkan hadis “حين صام رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم عاشوراء وأمر بصيامه قالوا: يا رسول الله! إنه يوم تعظمه اليهود والنصارى. فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم “فإذا كان العام المقبل إن شاء الله صمنا اليوم التاسع” قال: فلم يأت العام المقبل حتى تُوفي رسول الله صلى الله عليه وسلم (مسلم: 1134/133) bermaksud, “Pada hari Rasulullah saw berpuasa Hari Asyura (pada Hari Kesepuluh), para Sahabat ra berkata, ‘Ya Rasulullah, ia adalah hari yang disambut oleh orang-orang Yahudi dan Kristian, lalu Rasulullah saw bersabda, Tahun depan insyaAllah kita akan berpuasa pada Hari Kesembilan jika aku masih hidup’. Sebelum tiba tahun depan Rasulullah saw wafat”. Oleh itu Imam Asy-Syafie ra, Ahmad dan sebahagian Ulamak mengatakan sunat berpuasa pada kedua-dua Hari Kesembilan dan Hari Kesepuluh agar tidak menyamai Yahudi dalam meraikan hanya satu hari sahaja. Dikalangan mereka ada yang mengatakan puasa Hari Kesembilan sebagai laangkah hati-hati agar tidak terlepas kelebihan puasa Hari Asyura.

Puasa mendidik jiwa pemuda pemudi Dakwah menjadi ikhlas kerana ia adalah ibadah yang tidak boleh dilihat oleh manusia yang lain, mendidik jiwa menjadi kental kerana ia adalah perbuatan yang melawan arus nafsu makan dan syahwat, mendidik jiwa menjadi penyayang kerana berlapar mengingat dan menginsafkan dia akan kehidupan orang fakir dan miskin yang sering dilanda kelaparan dan serba kekurangan.
Pendapat sebahagian Ulamak pula ialah sunat berpuasa Hari Kesembilan, Hari Kesepuluh dan Hari Kesebelas berdasarkan hadis riwayat Ahmad أي صيام: 9، 10، 11 للحديث: “صوموا يوم عاشوراء وخالفوا اليهود: صوموا قبله يومًا أو بعده يومًا” bermaksud, “Berpuasalah kamu di Hari Asyura dan kamu bezakanlah dengan (amalan) orang-orang Yahudi. Oleh itu berpuasalah sehari sebelumnya dan sehari selepasnya”.

Ringkasnya, yaang paling afdhal ialah berpuasa pada ketiga-tiga hari ke 9, 10 dan 11 Muharram. Jika tidak upaya maka berpuasalah pada hari ke 9 dan 10 Muharram. Jika tidak upaya maka berpuasa sunatlah pada hari ke 10 Muharram.

Diriwayatkan bahawa generasi Islam terdahulu suka melatih kanak-kanak kecil berpuasa Hari Asyura dengan cara membawa mereka ke masjid dan membuatkan untuk mereka alat permainan di sana. Jika sesiapa dari mereka yang menangis kerana lapar, dia akan diberi alat mainan tersebut sehingga dia asyik bermain sehingga tiba waktu berbuka puasa (rujuk syarah hadis Muslim no 1136).

Kita berdoa kepada Allah swt agar diterima puasa dan amal ibadat kita di Hari-hari yang mulia ini, meningkatkan keperibadian Islam pada diri, keluarga dan masyarakat kita kea rah mendaulatkan kembali Islam di Negara, rantau dan dunia ini. Ameen.