disebalik itu...

Friday, April 15, 2011

Politik Oh! Politik.

Saudaraku bukannya saya nak berpolitik tetapi saja nak cerita sedikit mengenai sekeliling kita hari ini, saban hari dimuatkan dengan cerita-cerita politik. Sana sini riuh rendah dengan cerita politik sampai bila di masjid atau di surau pun manusia nak bercerita politik bukannya cerita agama. Ceritalah politik di luar masjid, dalam masjid ceritalah perihal agama.

Izinkan saya sentuh sedikit mengenai politik ini. Politik adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati di korporat, akademik, agama, dan institusi lain.

Kita ambil contoh kehidupan Rasulullah Sallallahua’Alaihi Wassalam untuk kita perlajari mengenai perkara politik ini. Orang yang mempelajari kehidupan Rasulullah Sallallahua’Alaihi Wassalam akan mengetahui bahawa semua tindakan dan perbuatan Baginda pasti mengandung hikmah, tujuan dan jauhnya pandangan. Salah satu contoh yang paling utama yang menggambarkan kecerdikan dan kebijaksanaan Baginda adalah tindakan baginda ketika perjanjian Hudaibiah.

Pada tahun ke-6 hijrah atau 628 masihi, Nabi Muhammad Sallallahua’Alaihi Wassalam bersama 1,400 sahabat bertolak ke kota Makkah untuk mengerjakan umrah. Orang kafir Makkah ketika itu tidak senang hati dengan rombongan itu. Orang Quraisy menolak hasrat itu dengan keras, angkuh dan sombong walaupun mengetahui bahawa Rasulullah ingin ke Makkah hanya untuk mengerjakan umrah dalam keadaan baik, bukannya untuk berperang.

Mereka tidak berhak melarang Baginda daripada mengunjungi Baitullah Al-Haram yang telah dijadikan oleh Allah sebagai tempat tumpuan dan aman bagi seluruh umat manusia.

Mereka bersepakat untuk menahan rombongan damai itu serta menghalang Rasulullah dan rombongan Baginda daripada mengerjakan ibadat.

Sebaik Rasulullah tiba di Hudaibiah iaitu kira-kira sembilan kilometer dari kota Makkah, Baginda mengutuskan Othman bin Affan menemui bangsa Quraisy. Ia untuk menegaskan bahawa Rasulullah dan sahabatnya datang dengan cara damai untuk menziarahi Kaabah, tetapi mereka menahan Othman.

Lantas Rasulullah menyiapkan pasukan tentera untuk menggempur mereka.

Lalu Rasulullah berkumpul di Hudaibiah iaitu sebuah tempat berhampiran dengan kota Makkah.

Dari sana, Baginda banyak membuat perundingan dengan orang Quraisy untuk mencari jalan perdamaian dan mengelakkan daripada berlaku pertumpahan darah.

Rundingan itu berakhir dengan menandatangani perjanjian sementara yang dikenali dengan Perjanjian Hudaibiah.

Untuk meringkaskan Perjanjian Hudaibiah, diperturunkan dibawah ini butir-butir perjanjian yang dipersetujui:

1.Genjatan senjata selama 10 tahun.
2.Muhammad hendaklah memulangkan orang Quraisy yang hendak masuk Islam tanpa izin walinya.
3.Tidak semestinya orang Quraisy mengembalikan pengikut-pengikut Muhammad jika mereka menyertai kaum Quraisy.
4.Mana-mana kabilah Arab yang ingin masuk ke dalam kaum Quraisy, boleh berbuat demikian dan sebaliknya sesiapa yang ingin masuk kumpulan Nabi Muhammad boleh juga berbuat demikian kecuali kaum Quraisy.
5.Muhammad dan pengikutnya hendaklah kembali ke Madinah tanpa menunaikan umrah tahun ini, tetapi pada tahun berikutnya Muhammad dan pengikutnya boleh masuk Mekah dan boleh tinggal di sana selama tiga hari tanpa apa-apa senjata senjata kecuali pedang di dalam sarungnya.
Setelah Rasulullah memeteraikan perjanjian damai itu, ramai di antara sahabat merasa terkilan dan tidak puas hati kerana Nabi banyak bertolak ansur dan berlembut, manakala di pihak Quraisy pula terlalu keras dan kasar.

Secara zahir, perjanjian ini merugikan kepentingan politik umat Islam hingga banyak menimbulkan bantahan daripada beberapa sahabat. Mereka melihat tindakan itu suatu penghinaan kepada mereka.

Umar ialah orang yang paling gusar lantas dia menemui Abu Bakar. “Abu Bakar, bukankah dia Rasulullah. Bukankah kita ini Muslimin? Mengapa kita mau direndahkan dalam soal agama kita?”.

Umar terus bertemu dengan Rasulullah. Rasulullah dengan sabar mendengarkan keluhan Umar itu. Kemudian Baginda menutup pembicaraan dengan berkata: “Saya ini hamba Allah dan Rasul-Nya. Saya sekali-kali tidak akan melanggar perintah-Nya dan Allah pun tidak akan mensia-siakan kita semua.”

Apa yang berlaku di perkampungan Hudaibiah di antara Rasulullah dan puak Quraisy itu membuktikan bahawa apa-apa tuntutan pun boleh diselesaikan di meja rundingan.

Rombongan Rasulullah kemudian kembali Madinah. Muhammad memang mengalah dalam perjanjian Hudaibiah itu. Tapi sebenarnya, ia baru memperoleh kemenangan besar. Untuk pertama kalinya kaum Quraisy mengakui keberadaan agama Islam secara rasmi, dan mereka juga tak dapat lagi menolak umat Islam untuk berkunjung ke kaabah tahun depannya. Muhammad telah mengalihkan bentuk perjuangannya dari perjuangan bersenjata ke perjuangan politik.

Keputusan yang dibuat Rasulullah ini menunjukkan keluasan pandangan beliau dalam memimpin umat dan kebijaksanaan beliau yang sangat cemerlang di bidang politik. Contoh ini menunjukkan bahawa Rasulullah sangat cerdik, bijaksana dan berpandangan jauh dalam mengambil keputusan-keputusan politiknya. Dari kisah ini dapat kita yakini bahwa kepimpinan Baginda adalah menurut petunjuk dan bimbingan Zat Yang telah Mengutusnya, ALLAH Subhanawataala.

Jadi kita kena ambik iktibar daripada ini dan para ulamak kita juga telah berulangkali menggesa supaya kembali kepada Allah dan RasulNya jika berlaku perselisihan pendapat seperti mana ditegaskan di dalam surah an-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud: 

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulul amri (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah(berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) RasulNya, jika kamu benar-benar beriman dengan Allah dan hari Akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pulak kesudahannya.” Quran Explorer – [Surah An-Nisa': Ayat : 59 - 59]
Sebenarnya tidak ada pra-syarat sebelum perundingan dijalankan. Yang penting ialah perundingan dan perdamaian, bukan tuntututan kerana tunututan boleh dibuat di atas meja rundingan.

Di dalam kontek ini kita mestilah berpegang kepada Al-Quran yang menjelaskan di dalam surah al-Hujraat ayat 11 seperti berikut: 

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim”- Quran Explorer – [Surah Al-Hujraat, Ayat: 11 - 11]
Ayat 12 di dalam surah yang sama pula ia menyarankan supaya jangan ada prasangka buruk sebelum perundingan atau dalam mana-mana keadaan atau mana-mana masa pun.

Allah menegaskan seperti berikut: 

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”-Quran Explorer – [Surah Al-Hujraat, Ayat: 12 - 12]
Maka rata-rata Umat Islam di Malaysia ini sedang menyaksikan dengan teliti apa-apa yang berlaku dalam isu perundingan perdamaian yang diharapkan membawa keamanan dan kesejahteraan umat Islam di Malaysia. Al-Hikmah menyertai berjuta-juta umat Islam di seluruh pelusuk bumi Malaysia mendoakan supaya semua pihak mendapat perunjuk daripada Allah, mudah-mudahan mereka dapat berjumpa dalam satu meja rundingan.

Jika kita mengikut contoh Nabi ini, tidak mustahil dengan izin Allah ramai yang akan mengakui Islam itu adalah agama yang harus dianuti dan diikuti. Sebelum perjanjian hudaibiah ini yang ada hanyalah peperangan. Setelah diadakan perjanjian ini, terciptalah gencatan senjata dan semua orang merasakan keamanan. Di kala itulah, setiap orang yang diberitahu sedikit saja mengenai ajaran islam, terus terkesan di hati dan masuk agama islam.

Orang yang masuk Islam dalam tempuh perjanjian itu menyamai jumlah orang yang masuk sebelumnya. Pada waktu itulah tokoh-tokoh sekelas Khalid Bin Walid, Amr bin Ash, Utsman bin Talhah memeluk agama Islam. Allahu Akhbar!

No comments:

Post a Comment