disebalik itu...

Wednesday, January 19, 2011

RUMAH yang berTANGGA..

Apabila seorang teruna dan dara diijab qabulkan maka terbinalah apa yang disebutkan sebagai Rumahtangga. Mungkin inilah tafsiran kebanyakan orang apabila ditanyakan maksud rumahtangga.

Akan tetapi Islam melihat rumahtangga lebih daripada itu. Bahkan Islam merupakan sistem keluarga. Islam memandang rumahtangga sebagai tempat perlindungan, pertemuan dan kediaman. Di bawah naungan rumahtangga, berlaku pertemuan di antara hati-hati iaitu pertemuan yang ditegakkan di atas lunas-lunas kasih mesra, saling simpati, saling lindung melindungi, saling berbudi, juga ditegakkan di atas lunas menjaga dan memelihara kesucian diri. Di bawah lindungan rumahtangga juga lahirnya kanak-kanak dan suburnya muda mudi. Dan dari rumahtangga memanjangnya tali hubungan kasih sayang dan hubungan saling bantu membantu.

Kerana itulah al Qur’an menggambarkan rumahtangga dengan gambaran yang halus dan lembut iaitu gambaran hubungan yang terpancar darinya rasa kasih mesra. Gambaran hubungan yang memperlihatkan bayang yang teduh dan embun-embun yang basah, dan gambaran hubungan yang melepaskan bau-bau yang semerbak harum;

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia telah menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepada mereka dan Allah jadikan di antara kamu perasaan mesra dan kasih sayang.(ar Rum:21)

" Mereka (isteri-isteri) adalah pakaian bagi kamu dan kamu adalah pakaian bagi mereka.” (al Baqarah:187)

Itulah hubungan di antara jiwa dengan jiwa, hubungan ketenteraman dan kemantapan, hubungan kemesraan dan kasih sayang dan hubungan perlindungan dan budi baik, malah dari ungkapan kata-kata al Qur’an itu sendiri kita dapat merasakan perasaan kerinduan dan kemesraan.

Islam memberi segala perhatian dan jaminannya kepada rumahtangga ini sebagai sel atau tapak semaian atau tempat pertemuan keluarga. Oleh itu banyak ayat-ayat al Qur’an jika diteliti, jelas menghubungkan persoalan keluarga itu secara langsung kepada Allah. Ini menggambarkan betapa besarnya kedudukan keluarga dalam sistem Islam dan betapa tingginya nilai keluarga di sisi Allah swt. Dia telah mengumpulkan di antara taqwa kepada Allah dengan taqwa dalam hubungan rahim;

Wahai sekalian manusia ! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dari satu diri (Adam) dan darinya Allah ciptakan isterinya (Hawa) dan dari keduanya Allah mengembang-biakkan lelaki dan perempuan yang amat ramai, dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu saling meminta di antara kamu dengan menyebut nama-Nya, juga bertaqwalah dengan memelihara hubungan rahim. Sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi kamu.” (an Nisa’ : 1)

Begitu juga Allah telah mengumpulkan di antara ibadat kepada Allah dengan kebaktian kepada kedua ibu bapa;

“Dan Tuhanmu telah memerintah supaya kamu jangan beribadat melainkan kepada-Nya sahaja dan supaya kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” (al Isra’ : 23)

Dan seterusnya Allah telah mengumpulkan di antara syukur kepada Allah dan terima kasih kepada kedua ibu bapa;

“Bersyukurlah kepada Aku dan kedua ibu bapa kamu.” (Luqman : 14)

Perhatian yang amat besar terhadap kedudukan keluarga adalah sesuai dengan kehendak taqdir Ilahi yang sejak dari mula menegakkan kehidupan umat manusia di atas asas keluarga, iaitu ketika taqdir Ilahi memutuskan bahawa sel pertama dari kewujudan bangsa manusia di alam ini ialah keluarga Adam a.s dan isterinya, dan dari sel pertama inilah umat manusia berkembang biak.

Allah swt memang berkuasa untuk menciptakan berjuta-juta manusia dengan sekaligus sahaja, tetapi taqdir Allah telah menentukan bahawa kewujudan mereka adalah bermula dari keluarga Adam a.s kerana satu hikmat yang tersembunyi di sebalik tugas besar keluarga dalam kehidupan manusia, dimana ia memenuhi kehendak fitrah manusia dan kesediaan-kesediannya, juga menyuburkan syakhsiyahnya dan budi pekertinya yang mulia, malah menerima kesan-kesan yang paling mendalam di dalam hidupnya.

Kemudian perhatian berat Allah swt terhadap urusan kekeluargaan dalam sistem hidup Islam selaku agama Allah yang terakhir ini adalah selaras dengan taqdir Allah yang mula-mula mengatur penciptaan manusia,sama seperti keselarasan yang wujud di dalam setiap ciptaan Allah, dimana tidak terdapat keadaan-keadaan yang tidak seimbang dan bercanggah.

Islam juga memberi perhatian yang sebegitu besar terhadap hubungan suami isteri dan keluarga kerana Islam berhajatkan ketinggian hubungan-hubungan insaniyah ini ketaraf kesucian yang merapatkan hubungan dengan Allah dan menggunakan hubungan ini sebagai sarana untuk membersihkan roh dan perasaan, bukannya seperti hubungan yang dipandang oleh agama-agama paganisme dan pengikut agama-agama yang sesat yang menyeleweng jauh dari fitrah manusia yang telah diciptakan Allah.

Islam tidak memerangi dorongan-dorongan keinginan semulajadi dan tidak memandang keinginan-keinginan semulajadi itu sebagai kotor, malah Islam mengawal keinginan-keinginan itu dengan peraturan-peraturan, juga membersih dan mengangkatkannya dari taraf haiwan ke taraf menjadi paksi kehidupan, di mana beredar sekitarnya peradaban peribadi dan sosial, juga menegakkan hubungan-hubungan seksual di atas asas perasaan kemanusiaan yang luhur yang menjadikan pertemuan dua badan itu sebagai pertemuan dua jiwa, dua hati dan dua roh.

Atau dengan ungkapan yang lebih syumul ialah pertemuan dua manusia yang terikat dengan kehidupan bersama, cita-cita bersama, senang susah bersama, dan masa depan bersama yang bertemu dengan zuriat keturunan yang ditunggu-tunggu atau dengan generasi baru yang akan lahir di dalam rumahtangga yang sama, di mana mereka dijaga ayah dan ibu yang tidak bercerai.

Islam menganggapkan perkahwinan sebagai sarana untuk membersih dan meningkatkan diri. Ia menyeru umat Muslimin supaya mengahwinkan lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan mereka untuk menrealisasikan sarana yang perlu untuk membersihkan dan meningkatkan kehidupan seseorang;

"Kahwinilah orang-orang yang bujang dari kamu dan orang-orang yang layak berkahwin dari hamba-hamba kamu lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan mengayakan mereka dengan limpah kurnia-Nya dan Allah Maha Luas Kemurahan-Nya dan Maha Mengetahui.”(an Nur : 32)

“Dan orang-orang yang tidak mampu berkahwin hendaklah menjaga kesucian dirinya sehingga Allah mengayakan mereka dengan limpah kurnia-Nya.” (an Nur : 33)

Islam menamakan perkahwinan itu sebagai ‘Ihsan’ atau langkah pemeliharaan dan kawalan diri, dan dengan itu tersematlah di dalam hati orang-orang Mu’min bahawa hidup tanpa kahwin atau tanpa kawalan diri itu, walaupun dalam masa yang singkat, tidak mendapat keredhaan Allah.

Ujar al Imam Ali Karramallahu wajhahhu apabila beliau segera berkahwin selepas kewafatan isterinya Siti Fatimah puteri Rasulullah s.a.w; “Aku takut menemui Allah dengan keadaan bujang.” Kerana perkahwinan dalam adat resam orang-orang yang beriman termasuk dalam amalan-amalan keta’atan untuk mendampingkan diri kepada Allah dan meningkatkan dirinya ke mertabat yang suci.

Yang menjadi pokok pangkal dalam hubungan perkahwinan ialah kemantapan hidup dan kelanjutannya, kerana itu Islam mengawal hubungan ini dengan segala jaminan yang boleh menjaminkan kemantapan hubungan itu dan kelanjutannya. Untuk mencapai matlamat ini Islam mengangkatkan hubungan perkahwinan ke taraf amalan-amalan keta’atan kepada Allah dan memberi bantuan kepada orang-orang yang miskin lelaki dan perempuan dari wang negara untuk membolehkan mereka mendirikan rumahtangga.

Di samping itu Islam mewajibkan peradaban-peradaban yang melarangkan perempuan menunjuk-nunjukkan kecantikan diri mereka supaya perasaan lelaki tenteram dan supaya hati mereka tidak tertarik kepada panggilan-panggilan kejelitaan yang mempesona yang didedahkan di pasar-pasar. Islam juga menetapkan hukuman zina dan hukum menuduh perempuan dengan tuduhan yang curang. Islam telah menetapkan kehormatan bagi rumahtangga. Ia tidak boleh dimasuki melainkan lebih dahulu meminta izin.

Islam mengatur hubungan-hubungan suami isteri dengan undang-undang yang tertentu. Ia menegakkan sistem rumahtangga di atas dasar lelaki sebagai penguasa kerana lelaki merupakan kongsi yang lebih kuat dan lebih mempunyai kemampuan untuk menjadi penguasa rumahtangga. Langkah ini ialah untuk mengelakkan berlakunya kacau-bilau, kucar-kacir dan pertelingkahan-pertelingkahan rumahtangga dan lain-lain lagi dari berbagai-bagai jaminan dan peraturan untuk memelihara rumahtangga dari segala kegoncangan selain dari nasihat-nasihat dan bimbingan-bimbingan untuk mengawal perasaan dan selain dari menghubungkan hubungan itu dengan taqwa kepada Allah dan pengawasan-Nya.

Namun demikian, realiti hidup manusia membuktikan bahawa di sana terdapat keadaan-keadaan yang membawa keruntuhan dan perpecahan dalam rumahtangga walaupun di sana terdapat berbagai-bagai jaminan dan bimbingan-bimbingan yang dituju untuk mengelakkan keruntuhan itu. Keadaan-keadaan yang seperti ini perlu dihadapi secara amali sebagai meng’iktirafkan logik realiti yang tidak lagi berguna dilawan apabila kehidupan suami isteri tidak dapat diteruskan dan apabila usaha untuk mengekalkan hubungan itu menjadi satu usaha yang sia-sia dan tidak dapat ditegakkan lagi di atas mana-mana asas pun.

Wednesday, January 12, 2011

UJUB & RIAK MEMBAWA KEBINASAAN

MUKADDIMAH
Kita biasa melihat segolongan manusia itu (golongan pertama) berlumba-lumba melakukan kebajikan dan amal soleh, dari ibadah yang wajib sehinggalah kepada yang sunat. Dan tak kurang pula segolongan lagi manusia itu (golongan kedua) yang langsung tidak mahu beramal, bersolat yang wajib dan lain-lain ibadat sunat.

Apa yang merisaukan kita adalah kepada golongan yang pertama iaitu golongan yang kuat beramal soleh dan berilmu. Kalau yang tidak beramal soleh itu kita semua sedia maklum kemanakah kembalinya mereka itu nanti di akhirat. TETAPImengapa pula kita perlu risau terhadap orang yang berilmu dan kuat pula beramal soleh itu? Pelik kan? Jangan pelik Muslimin dan Muslimat. Teruskan pengajian anda dengan  membaca apa yang cuba saya sampaikan di nota ini.

Kita risau dan bimbang kepada mereka yang kuat beramal soleh jika wujud sifatUJUB (rasa bangga) dan RIAK (rasa bermegah-megah) dalam ibadat dan amal soleh mereka. Kita mengharapkan sepatutnya mereka yang beramal soleh dan berilmu inilah seharusnya menghuni syurga Allah TETAPI Allah berfirman dan mengingatkan bahawa DIA akan memenuhkan Neraka WIL (yakni neraka terbawah sekali) dengan orang yang pada zahirnya berilmu dan kuat beramal soleh tetapi hatinya wujud sifat ujub dan Riak. MasyaAllah Muslimin dan Muslimat semua.

ANTARA PUNCA ALLAH BERFIRMAN SEDEMIKIAN adalah kerana orang yang beramal dan kemudian mereka itu merasa seronok selepas beramal atau merasa cukup dengan amalannya, kononnya mereka 'PASTI' terselamat dari azab api neraka itu boleh membawa kepada sifat Mazmunah yakni UJUB danRIAK itu tadi. Ujub dan riak bukan sahaja tertumpu kepada manusia sahaja tetapi yang paling bahaya adalah apabila wujud sifat ujub dan riak kita kepada Allah. Nauzubillah Muslimin dan Muslimat yang saya kasihi.

Apakah dengan itu bermakna kita ini TIDAK PERLU pula beramal dan lebih baik kita jadi seperti mereka yang tidak beramal (golongan kedua) itu tadi? Bukan...bukan begitu...jangan menyalah tafsirkan peringatan ini OK. Rasulullah Saw ada bersabda supaya kita ini menyampaikan apa yang telah kita pelajari dan apa yang kita tahu tentang kebaikan dan kelebihan amal kepada manusia lain walaupun satu dari ayat-Nya.

UJUB & RIAK
Contohnya: Seorang itu bangun solat Tahajud di malam hari dan kemudian dalam hatinya merasa seronok dan bangga selepas dia bersolat, itu adalah tanda-tanda kewujudan sifat ujub dan riak kepada Allah. Dia yang beramal itu menyangka apa yang dilakukannya (walaupun dia merahsiakannya dari manusia) akan menyelamatkan dirinya dari azab api neraka sedangkan manusia yang soleh itu sebenarnya memenuhi syurga Allah hanya kerana RAHMAT dari ALLAH dan bukan apa yang diusahakannya untuk merasa selamat itu. FAHAM? Atau masih kabur? Ok, saya perjelaskan lagi supaya bertambah kefahaman tentangnya. InsyaAllah.

Baiklah, cuba kita renungkan apa yang akan berlaku di akhirat apabila kita berhadapan dengan  Allah Azzawajala nanti. Yang dinilai oleh Allah adalahHATIMU, yang dikurniakan Allah dengan kebaikan dunia dan akhirat itu juga adalah kerana HATIMU. Jika hatimu itu beramal dan menuntut ilmu untuk mendapat keredhaan Allah dan kemudian menyerahkan segala persoalan samada Allah terima atau tidak amalan kita kepada Allah dengan ucapan InsyaAllah, barulah kita ini dinilai tinggi oleh Allah Azzawajala dalam nilai ibadah kita. Bukan amalan yang membukit tetapi tidak ada TAWAKAL, BESERAH kepada Allah danINSYAALLAH itu tadi. Jadi dimanakah kebanggaan (ujub) dan rasa riak kita itu tadi kerana kononnya kita ini telah beramal begitu banyak? NAMPAK? Atau masih kabur? Baiklah, mari kita teruskan berhujah...

Apabila sampai kita dihadapan Allah Azzawajala di muka pengadilan nanti, maka Allah akan memperlihatkan segala amalan yang telah kita perbuat di dunia.WAH!!! BANYAKNYA AMALAN KITA diperlihatkan Allah, hebatnya kita! Kemudian Allah mencabut sebutir mata anda dan menimbangkan nikmat yang pernah dikurniakan Allah disebabkan penglihatan hanya sebelah sahaja dari mata anda. Anda terus terpaku dan menangis kerana TERNYATA nikmat melihat dengan hanya sebelah mata itu sahaja telah menewaskan timbangan amal soleh yang membukit yang pernah anda usahakan dahulu. Dimanakah kehebatan amalanmu semasa hidup dulu? Apakah yang anda bangga-banggakan dan bermegah dengannya selama ini? Anda pasti akan menangis di hadapan Allah kerananya. Percayalah Muslimin dan Muslimat semua.

Yang menyelamatkan kita dari api neraka sebenarnya adalah RAHMAT ALLAH. Kalau nak diikutkan apa sangatlah amalan yang mampu kita lakukan setelah mengerjakan semua yang WAJIB dan kemudian melakukan pula ibadah-ibadah yang sunat, walaupun kita telah berdiri sepertiga malam pada tiap-tiap malam tanpa ada satu haripun terlepas sehingga saat kematian kita, jika TIDAK kita iniBESERAH segalanya kepada Allah samada mahu menerima atau tidak amalan kita. Maka tidak adalah maknanya amalan kita yang banyak membukit  itu Wahai Muslimin dan Muslimat.

Saya bukannya cuba membuka ruang untuk anda menghentam dan mengutuk mereka yang berilmu, beriman dan beramal soleh TETAPI ia satu peringatan yang wajib kita sampaikan. Bayangkan, orang yang beramal soleh itu pun belum tentu selamat di akhirat, apalagi mereka yang langsung lalai dengan kehidupan dunia ini. Kita HARUS membetulkan niat dan tasdiq dalam hati kita dengan mengucapkan InsyaAllah dan hanya berharap agar Allah menerima semua amalan kita.

SIAPAKAH di antara kita ini berani menyatakan bahawa amalannya diterima Allah? Ada yang berani? Kita, manusia ini hanya mampu melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya TETAPI tiada siapa yang tahu atau mampu menentukan samada amalannya itu telah diterima atau tidak oleh Allah Azzawajala. So, janganlah kita nak berlagak sangat 'kononnya' kita ini hebat dan berilmu, lebih pandai dari yang lain, kita sahaja yang betul dan benar dan kita inilah bakal ahli syurga. Dengan menghentam diri kita seperti itu sahajalah akan terbit dan wujudnya sifat merendah diri dan dengan merendah diri itu sahajalah akan berlaku perubahan kepada HATI KITA dari sifat ujub dan riak. Kita wajar sentiasa bersangka baik kepada semua manusia selagi mereka itu tidak melakukan perbuatan KEJI yang terang-terangan dan dapat dilihat mata kepala kita.

IBADAH SOLAT
Muslimin dan Muslimat yang saya kasihi, ibadah solat itu adalah ibadah untuk diri kita sendiri, dan ia bukanlah untuk menambah kuasa Allah atau untuk orang lain. Allah tidak heran sama sekali jika anda langsung tidak mahu sujud kepada-Nya. Sujud atau tidak kita kepada-Nya tidak sedikitpun memberi bekas kepada Allah Yang Maha Besar lagi Maha Berkuasa. Kita bersolat untuk kebaikan diri sendiri selain mentasdiqkan(menetapkan dalam hati) bahawa ia dilakukan hanya kerana Allah, dan bukan kerana ulama, ustaz, mak ayah kita atau makhluk-Nya yang lain. Kita WAJIB mengerjakan solat hanya kerana Allah Taala. Ingat! Hanya kerana Allah Taala...LILLAHITAALA!!!

Allah berfirman Surah Al-Ankabut: Ayat 45 - Bacalah kitab (Al-Quran) yang telah diwahyukan kepadamu (Muhammad) dan laksanakanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar. Dan (ketahuilah) mengingat ALLAH (dalam solat) itu lebih besar (keutamaannya dari ibadah yang lain). ALLAH mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Jika kita membaca ayat dari firman Allah di atas, JELAS bahawa solat yangDITERIMA Allah akan pasti merubah pengamalnya dari biasa melakukan kemungkaran (perkara larangan Allah) kepada yang lebih baik yakni meniggalkan segala larangan-Nya. Jika kita tidak berubah dan masih terus bergelumang dengan dosa, kemungkaran dan tidak pula kita terpanggil menutup aurat, bermakna solat kita itu berkemungkinan TIDAK DITERIMA oleh Allah.

Kerana itu saya katakan bahawa solat itu adalah untuk diri kita sendiri. Apabila kita bersolat dengan khusyuk dan menyerahkan segalanya kepada Allah soal diterima atau tidaknya amalan solat kita itu, dan kemudian dengan solat itu pulaMAMPU merubah gaya hidup kita kepada kebaikan serta dengan sendirinya kita meninggalkan segala larangan-Nya seperti minum arak, berfoya-foya dengan perkara lagha (tak berfaedah), taat kepada ibu bapa dan lain-lain lagi kebaikan bermakna kita telah berjaya menikmati kebenaran dari firman Allah dalam ayat di atas. InsyaAllah.

KESIMPULANNYA
Marilah kita Muslimin dan Muslimat menghindar diri dari sifat Ujub (membanggakan diri) dan Riak (bermegah-megah kononnya kitalah yang paling hebat dan berilmu) yang hanya dilihat banyak membawa kebinasaan kepada diri kita sendiri. Marilah kita perbetulkan niat amalan dan menuntut ilmu kita kepada HANYA KERANA ALLAH (Lillahitaala) dan kemudiannya kita beserah segalanya kepada Allah. Biarlah Allah yang menentukan samada amalan kita itu diterima atau tidak oleh-Nya. Kita hanya mampu berdoa dan berharap agar Allah menerimanya. InsyaAllah.

Monday, January 10, 2011

HUKUM MUZIK, NYANYIAN & NASYID

HUKUM MUZIK, NYANYIAN & NASYID

by FIRMAN ALLAH on Monday, 10 January 2011 at 01:37
MUKADDIMAH
Nyanyian tidak lain hanyalah antara satu dari kebaikan dunia yang dinikmati oleh jiwa manusia, kemudiannya di manfaatkan oleh Akal sbg penyegar minda, disenangi oleh 'fitrah' (kebiasaan) manusia dan senang pula ia didengari sehingga menjadi sebahagian dari nikmat Allah kepada deria pendengaran kita, sebagaimana makanan dan minuman yang enak itu menjadi nikmat kepada tekak dan perut kita, juga sebagaimana pemandangan yang indah menjadi nikmat kepada mata, tatkala bau-bau haruman serta wangian pula menjadi nikmat bagi deria bau kita.

Tidak ada satu kebaikan yang terdapat dalam Islam yang mana jika ia bermanfaat kepada jiwa dan akal yang sihat melainkan semuanya dihalalkan oleh Allah Swt sebagai rahmat-Nya kepada manusia.Tidak ada seorang pun yang boleh mengharamkan segala kebaikan yang telah dihalalkan oleh Allah Swt sebagaimana yang terdapat dalam ayatnya dalam Firman Allah (Surah Al-Maidah: Ayat4): Mereka bertanya kepadamu wahai Muhammad, apakah yang halal bagi mereka? Maka katakanlah: "Dihalalkan kepada kamu segala sesuatu yang baik..."

Bukti bahawa nyanyian merdu itu amat dekat kepada fitrah jiwa manusia adalah ketika terhentinya tangisan seorang bayi di dalam buaian ibunya apabila ibunya bersenandungkan lagu untuknya. Bukan sekadar manusia sahaja yang akan terpesona dengan bunyian atau nyanyian yang merdu, malah burung-burung dan haiwan ternakan juga dilihat mengalami situasi 'terpesona' yang sama apabila mendengar sesuatu suara yang merdu dan senandung yang mendayu-dayu. 

Al-Imam Al-Ghazali pernah menegaskan dalam Ihya' Ulummudinnya bahawa "orang yang tidak tersentuh hatinya kerana mendengar nyanyian yang merdu adalah orang yang kurang dan tidak normal" . Orang yang seperti itu (yang tidak tersentuh kepada irama dan nyanyian) adalah jauh dari hal-hal yang bersifat rohani (batin/jiwa) dan mereka ini juga tidak peka terhadap sesuatu.

Persoalannya: Jika kecenderungan manusia terhadap irama muzik, lagu dan nyanyian itu menjadi antara faktor penting kepada dorongan hati dan fitrah semulajadi manusia ciptaan Allah itu. Apakah wajar agama itu datang untuk memerangi sesuatu yang disukai naluri manusia (yang memang diciptakan Allah sedemikian) dan menimpakan bencana kepada mereka?

Jawapannya: Sama sekali tidak. Agama itu datang untuk mendidik, mengasuh, mengangkat dan menjuruskan kita kepada kebenaran. Al-Imam Ibn Taimiyah pernah menyatakan "Sesungguhnya para Nabi itu diutuskan Allah bagi menyempurnakan akhlak, fitrah manusia dan kemudian memantapkannya lagi, bukannya untuk menukar ganti serta merubah sesuatu kepada yang baru".

Insiden ketika Rasulullah Saw datang ke Madinah, ketika itu penduduk Madinah telah dua hari berpesta, bermain dan bergembira. Lantas Rasulullah Saw bersabda (bertanya): "Untuk apa anda gunakan selama dua hari ini?"

Mereka menjawab:"Untuk kami bermain dan bersuka ria kerana permainan ini telah diwarisi turun temurun dari zaman Jahiliah lagi"

Kemudian Rasulullah Saw bersabda: "Sesungguhnya Allah Swt telah menggantikan untuk anda semua (dari permainan zaman jahiliah itu) dengan sesuatu yang lebih baik dari dua hari itu, yakni dua hari raya, Aidil Fitri dan Aidil Adha" Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Nasa'i

HUKUM NYANYIAN & MUZIK - adalah HARUS (tetapi dengan bersyarat)
Pelbagai pendapat ulama FIQH (Fekah) terhadap hukum nyanyian dan muzik dikemukakan dan kebanyakannya bersepakat untuk menetapkan bahawa hukum nyanyian dan muzik itu adalah HARUS, yakni harus yang bersyarat. Dimana, jika syarat-syarat itu (yang akan dinyatakan dibawah ini) tidak disempurnakan atau dipatuhi, maka hukum HARUS itu akan berubah menjadi HARAM mengikut lunas-lunas hukum dan peraturan Islam yang difirmankan Allah kepada kita.

SYARAT-SYARATNYA & SITUASI-SITUASI  YANG MERUBAH HUKUM HARUS KEPADA HARAM
  1. Nyanyian itu hendaklah dengan sopan santun Islam dan selaras pula denga ajarannya. Tidak boleh menyanyi dengan lirik yang 'lagha' seperti lirik yang pernah diungkap oleh Syauqi dan seangkatan dengannya (apa sahaja yang serupa atau bersamaan dengannya) "Ramadan telah berlalu, berilah dia minum hai tukang air" atau "Gadis rindu bergegas menuju kepada lelaki yang dirinduinya". Lebih berbahaya lagi jika lirik itu melibatkan iktikad kepada keimanannya yang ragu-ragu kepada perkara prinsip, tempat kembalinya kita dan kenabian seorang Nabi itu sebagaimana contoh qasidah Al-Talasim yang berbunyi: "Aku telah datang, aku tidak tahu dari mana, tetapi aku telah datang. Aku telah melihat jalan dihadapanku, lalu aku berjalan. Bagaimana aku datang?. Bagaimana aku melihat jalan? Aku tidak tahu". Kesemua ini adalah antara contoh ianya akan bertukar dari harus kepada haram. Nyanyian yang kesemua atau sebahagian lirik lagunya didapati bertentangan dengan ajaran Islam juga adalah diharamkan. Begitu juga nyanyian memuji dan menyanjung pemerintah yang zalim, pemerintah yang melampaui batas dan pemerintah yang fasiq. Islam mengutuk orang yang zalim, pembantu-pembantu mereka dan orang-orang yang diam melihat kezaliman mereka. Begitu juga diharamkan semua lirik lagu dan nyanyian yang menyanjung wanita bermata keranjang atau nyanyian yang bertentangan dengan adab sopan santun Islam yang mana Firman-Nya menyeru sebagaimana Firman Allah (Surah An-Nur:Ayat 30): Katakanlah kepada lelaki yang beriman, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka (dari wanita yang bukan mahram/ ajnabi) dan Firman Allah (Surah An-Nur:Ayat 31): Katakanlah kepada kaum wanita yang beriman, hendaklah mereka menutup pandangan mereka (dari perkara yang tidak baik dan lelaki yang bukan mahram).
  2. HARAM jika nyanyian itu disampaikan oleh wanita (bukan mahram) yang diharamkan Allah bagi lelaki lain memandangnya kerana bimbang akan berlaku fitnah. Di situasi ini bukan nyanyian yang dilarang tetapi keadaan wanita yang menyanyi itu yang boleh mendatangkan ghairah 'nafsu seks' peminatnya dan menjadi fitnah kepada agama Allah. Menurut Imam Al-Ghazali larangan mendengar nyanyian dengan alasan bimbang berlaku fitnah (perkara yang tidak bermoral dan segala macam gejala sosial) adalah pendapat yang kuat. Walaupun Rasulullah Saw pernah berhadapan situasi yang sama apabila dua orang penyanyi wanita menyanyi di rumah Aisyah r.a., Rasulullah Saw tidak menjauhinya kerana Baginda tidak bimbang berlaku fitnah ke atas dirinya kerana Rasulullah Saw itu maksum (terlindung dari sebarang perbuatan dosa oleh Allah Swt). Peristiwa ini menunjukan bahawa situasi Rasulullah Saw dengan situasi kita pada hari ini adalah sangat ketara bezanya.
  3. HARAM jika muzik yang dimainkan itu termasuk simbol kepada muda mudi terhadap wanita atau mampu mempengaruhi penghayatan peminum arak dan penagih dadah untuk mengekalkan tabiat mereka itu seperti alunan petikan gitar dan tiupan seruling yang mendayu-dayu, maka ia akan berubah kepada haram, walaupun pada permulaannya hukum bagi alat muzik itu adalah harus.
  4. HARAM jika nyanyian itu mempunyai kata-kata kesat, kotor dan keji serta cercaan yang mendustakan Allah, Rasulullah dan para sahabatnya sebagaimana syair golongan Rafidhah yang jelas mencela para sahabat dan lain-lain.
  5. HARAM jika nyanyian itu mencerminkan atau menceritakan tentang keangkuhan kaum wanita dihadapan kaum lelaki seperti lagu 'Tamparan Wanita' atau lain-lain lirik yang serupa dan menyamai dengannya.
  6. HARAM jika lagu itu menyebabkan kita berkhayal tentang seseorang samada lelaki atau wanita tertentu yang bukan suami atau isteri kepadanya, yang sah jika berkahwin dengannya kerana perbuatan berkhayal kepada yang bukan hak itu adalah maksiat yang dilakukan melalui kaedah khayalan dan fikiran. Harus pula jika ia mengkhayalkan wanita atau lelaki yang telah halal kepadanya.
  7. HARAM jika orang yang mendengar nyanyian itu masih muda dan mudah dirangsang oleh nafsu syahwatnya. Ini biasa berlaku kepada mereka yang masih remaja, yang masih belum tahu menilai dan membuat pertimbangan terhadap halal haramnya suatu perhubungan cinta dengan pasangannya.
  8. HARAM jika kita membiasakan diri dan dengannya kita menjadi ketagih atau menjadikannya nyanyian itu sebagai rutin harian kehidupan. Jika semua ini dilakukan secara berterusan akan menjadikan ia makruh dan amat dibenci Allah. Jadi, semua perkara berhubung lagu, muzik dan nyanyian yang pada asal hukumnya adalah harus itu tidak akan kekal sebagai harus apabila ianya dilakukan secara berlebih-lebihan.
  9. HARAM jika dengan muzik, nyanyian atau lirik sesuatu lagu itu boleh menyumbang kepada berkumpulnya lelaki dan wanita yang bukan mahram dalam satu konsert yang menyebabkan berlakunya pergaulan bebas dan berseronok tanpa batasan agama.
Ibnu Majah meriwayatkan sebuah hadis dari Abi Malik Al-Asyaari bahawa Rasulullah Saw bersabda: "Akan ada satu golongan dari kalangan umatku yang akan meminum arak yang mereka namakan dengan nama lain (black label, whisky, champagne dan sebagainya), bermain dengan alat-alat muzik bersama dengan penyanyi-penyanyi wanita. Allah Swt akan menenggelamkan mereka ke dalam tanah (apabila dia mati dan telah dikebumikan kelak), dan merubah rupa paras mereka menjadi seperti kera-kera (monyet) dan khinzir-khinzir (babi)". Ibn Hibban meriwayatkan hadis yang sama dalam 'Shahih'nya dan begitu juga Imam Bukhari meriwayatkannya dalam 'Tarikh'nya.

KESIMPULANNYA
Saudara dan Saudari, Muslimin dan Muslimat yang saya kasihi, MAMPUKAH KITA mengelak atau mengetepikan syarat-syarat yang JELAS di atas bagi mengharuskan kita menikmati nyanyian? Jika kita mampu melaksanakan syarat-syarat di atas, maka tidaklah menjadi HARAM kepada kita mendengar nyanyian.

Harus di ingat bahawa kaitan dosa ke atas sesuatu perbuatan yang hukumnya HARAM adalah seperti kaitan berhubung haramnya arak. Peminum, tukang proses, pengilang, pengedar, orang yang menyediakan pengangkutan dan orang yang menghantar arak kepada peminumnya dan apa sahaja aktiviti yang menyumbang kepada bantuan kepada penggunaan arak adalah dilaknati Allah Swt.

Kalau dalam muzik, pendengar (kita), pembeli CD (kita), penonton konsert (kita), penyanyi, pencipta lagu, penulis lirik, pemuzik, syarikat rakaman, pengedar, pencetak CD, pekerja studio rakaman dan semua yang berkaitan dengannya adalah turut mendapat laknat Allah Taala jika kita GAGAL mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan di atas bagi mengharuskan kita kepada Muzik dan Nyanyian. WASSALAM.

Sunday, January 9, 2011

Hak al-Quran untuk dibaca, diamalkan

TANPA sebarang keraguan, al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang terkandung pelbagai khazanah ilmu bagi manfaat manusia.
Firman Allah yang bermaksud: "Bagi tiap-tiap umat yang ada antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing)." (Surah al-Ma'idah ayat 48) Kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, hanya boleh dicapai jika manusia berpegang kepada kandungan al-Quran.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: "Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, Malaikat-Nya, Kitab-Nya dan Rasul-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 285) Al-Quran kekal terpelihara daripada sebarang bentuk perubahan hingga hari kiamat.
Melihat kepada keistimewaan al-Quran, umat Islam perlu menjunjung ketinggian martabat kitab suci itu, semua haknya perlu ditunaikan. Antara hak al-Quran ialah untuk diimani, dibaca, dihafal, difahami, diamalkan dan hak untuk disebarkan isi kandungannya.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan al-Quran, dan Kami-lah yang memelihara dan menjaganya." (Surah al-Hijr, ayat 9).

Al-Quran perlu diimani kerana menolak al-Quran sehingga meragui isi kandungannya akan membuatkan umat Islam tercampak ke lembah kekufuran. Keimanan terhadap al-Quran turut berkait dengan keimanan kepada Rasulullah yang dipilih sebagai Rasul akhir zaman dan menyampaikan ajaran Islam seperti mana yang termaktub di dalam al-Quran.
Selain itu, hak al-Quran untuk dibaca. Adakah kita membaca al-Quran setiap hari? Pernahkah kita memperuntukkan masa untuk membaca dan memahami al-Quran? Berapa ramai generasi muda hari ini tidak tahu membaca al-Quran? Jauhnya umat Islam daripada al-Quran akan menutup pintu rahmat dan keberkatan Allah dalam kehidupan mereka. Malah, hakikatnya al-Quran bakal memberi syafaat buat umat Islam di akhirat kelak. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Bacalah al-Quran, kerana ia pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaat kepada pembacanya." (Hadis riwayat Muslim) Kemudian hak al-Quran hak untuk dihafal. Terlalu banyak ganjaran bagi mereka yang mampu menempatkan ayat al-Quran dalam hati mereka. Jika al-Quran sudah terpahat dalam hati, maka diri akan sentiasa terpelihara daripada sebarang bentuk kemungkaran dan kemaksiatan. Rasulullah pernah memberi perumpamaan yang buruk bagi mereka yang tidak mempunyai al-Quran dalam hatinya.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang di dalam dadanya tidak ada al-Quran sama sekali, tidak ubah seperti sebuah rumah yang rosak." (Hadis riwayat al-Tirmidzi, Ahmad, al-Hakim, dan al-Darimi) Hak al-Quran yang keempat ialah hak untuk difahami. Sesungguhnya inti pati al-Quran tidak akan dapat dibongkar jika umat Islam gagal memahami isi kandungan al-Quran. Pemahaman isi kandungan al-Quran boleh diperoleh menerusi kupasan tafsiran al-Quran di pelbagai media.
Penguasaan bahasa Arab juga perlu diusahakan bagi memahami isi kandungan al-Quran.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Pelajarilah al-Quran dan bacalah, serta tidurlah kalian. Sebab perumpamaan al-Quran dan orang yang mempelajarinya kemudian ia mahu membacanya, ibarat satu bejana yang penuh berisi minyak wangi yang baunya semerbak di merata tempat. Sedangkan perumpamaan orang yang mempelajari al-Quran, tetapi ia tidur sahaja, al-Quran hanya di dadanya sahaja (tidak dibaca); maka hal itu ibarat bejana yang berisi minyak wangi, tetapi tutupnya diikat rapat-rapat." (Hadis riwayat Ibnu Majah, al-Tirmidzi, al-Nasa'i, dan Ibnu Hibban) Al-Quran mempunyai hak untuk diamalkan. Berdosa jika mengetahui isi al-Quran, namun tidak mengamalkannya. Jika al-Quran tidak dipelihara atau diamalkan, ia bakal mengheret Muslim ke pintu neraka. Berbahagialah bagi mereka yang membaca al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Orang Mukmin yang membaca al-Quran dan mengamalkan isinya, ibarat buah yang manis, rasanya enak dan baunya harum." (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidzi, dan lain-lain) Hak al-Quran yang terakhir ialah untuk disebarkan isi kandungannya. Perkara itu menjadi perjuangan Rasulullah ketika hayatnya yang diteruskan salaf al-salih dan golongan ilmuan Islam. Hakikatnya, ia membuktikan Islam cintakan ilmu dan menggalakkan budaya ilmu disuburkan untuk faedah umat manusia.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Orang yang paling baik antara kalian adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya." (Hadis riwayat al-Bukhari, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Darimi)

9 petua capai doa mustajab

BERIKUT antara sembilan petua daripada Rasulullah untuk mencapai doa mustajab:
1. Anas bin Malik meriwayat kan bahawa Rasulullah bersabda: “Doa antara azan dan iqamat tidak akan ditolak.” 
2. Sesungguhnya Rasulullah bersabda: “Allah akan turun ke langit dunia setiap
malam iaitu sepertiga malam yang terakhir seraya berfirman: “Sesiapa yang berdoa
kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya.”

3. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Tiga orang yang tidak
ditolak doanya iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka.”

4. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Aku dilarang membaca al-
Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat antara hamba dan Tuhan-Nya
adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu.”

5. Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Jika kamu mendengar ayam
jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah kerana sesungguhnya binatang itu
melihat malaikat. “Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan
daripada Allah daripada godaan syaitan kerana binatang tersebut melihat syaitan.”

6. Ubadah bin As-Shamit berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang
bangun pada malam hari dan mengatakan atau berdoa, doanya akan dimakbulkan.
“Apabila beliau berwuduk (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah.”

7. Ata bin Abi Rabah berkata: “Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang membaca surah Yasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan.”

8. Hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: “Doa seseorang itu akan
dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: ‘Aku berdoa
tetapi tidak dimakbulkan.’”

9. Hadis daripada Abu Hurairah: Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda: “Pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bila mana seorang Muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu.”

Solat Tahajud usir penyakit

TIDAK dapat dinafikan tidur adalah satu amalan yang perlu dan pasti bagi setiap insan yang menghuni alam yang fana ini.
Manusia bukannya enjin.

Ia tidak dapat bekerja tanpa rehat. Enjin boleh digerakkan tanpa rehat selagi perkara yang diperlukan olehnya seperti minyak dan sebagainya dapat kita penuhi.
Manusia walau pun mendapat cukup makan dan minum akan merasa penat sekiranya bekerja terus menerus tanpa rehat. Tanpa rehat, tenaga manusia akan terus berkurangan.

Cara berehat sebaik-baiknya bagi manusia bukanlah dengan berhenti bekerja, tetapi dengan tidur.

Melalui tidur tenaga manusia yang digunakan semasa bekerja dapat dipulihkan kembali kerana pada waktu tidurlah segala anggota yang diguna untuk bekerja berhenti daripada tugasnya.
Pentingnya tidur dan waktu rehat itu diakui Allah dengan firman-Nya yang bermaksud: “Allahlah yang membelah Subuh dan yang menjadikan malam untuk rehat dan menjadikan matahari dan bulan untuk menjadi sumber segala perhitungan. Inilah ketentuan yang Maha Kuasa dan Yang Maha Mengetahui.” (Surah Al- An’am ayat 96) Walaupun dalam ayat di atas Allah menyatakan malam untuk berehat, sebagai hamba Allah tidak seharusnya menggunakan waktu malam itu untuk tidur semata-mata.

Kita seharusnya ingat dan sedar kepada motif dan tujuan Allah menjadikan manusia.
Motif Allah menjadikan manusia jelas dinyatakan dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat menyembah-Ku.” (Surah Az-Dzaariyaat ayat 56) Daripada ayat di atas dapatlah kita mengambil pengajaran bagaimana kita harus menggunakan waktu malam. Jika pada siang kita menggunakan kira-kira 100 peratus masa untuk kerja dunia, pada waktu malam biarlah kita peruntukkan sebahagiannya untuk berhubung dengan Allah.

Dan cara yang sebaik-baiknya untuk berhubungan dengan Allah ialah bangun mengerjakan solat Tahajud atau sembahyang tengah malam.

Sesungguhnya, bangun di tengah malam untuk bertahajud banyak kelebihan dan besar pahalanya. Ini jelas dari Firman Allah yang bermaksud: “Dan dari malam itu hendaklah engkau bangun Tahajud sebagai nafilah (ibadat tambahan) bagimu. Moga- moga Allah akan mengang kat mu ke tingkat yang terpuji.” (Surah Al-Israk ayat 79) Amalan untuk bangun bertahajud adalah satu perbuatan yang amat berat untuk mengerjakannya.

Keadaan tubuh yang letih dan lesu menyebabkan sesetengah orang itu tidur seperti mati tidak sedarkan diri lagi walau pun puas dikejutkan.

Matanya akan bertambah mengantuk dan tubuhnya bertambah penat apabila mereka tidur lewat kerana asyik menonton televisyen.

Keadaan sejuk dan suasana sepi di tengah malam juga menjadi faktor seseorang nyenyak tidur dan merasa keberatan untuk berhubungan dengan Allah.

Satu persoalan yang boleh diketengahkan di sini ialah mengapakah Allah meletakkan waktu sembahyang Tahajud itu di tengah malam ketika suasana sunyi sepi dan penuh kesejukan? Jawapannya ialah untuk menguji sejauh manakah taatnya seseorang makhluk yang mengaku dirinya bertuhankan Allah.

Manusia yang betul-betul yakin dan patuh kepada Allah tidak akan keberatan bangun di tengah malam untuk bertahajud.

Sesungguhnya sembahyang Tahajud satu daripada sembahyang sunat saja. Tetapi sembahyang ini mempunyai nilai dan kedudukan yang tinggi sekali berbanding dengan sembahyang sunat lain.

Rasulullah bersabda: “Hendaklah kamu Qiamullail (solat malam) kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosa atau kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi) Tetapi sedikit sekali umat manusia yang mengaku dirinya ber agama Islam ini sanggup dan bersedia melakukan sembahyang Tahajud walaupun mereka sedar tingginya kedudukan dan nilai solat berkenaan.

Sesungguhnya manusia akan berlumba-lumba melakukan Tahajud jika dapat merasa betapa sedap dan nikmatnya melakukan amalan itu.

Kenyataan itu membuktikan bahawa peminat bola sepak akan bangun jam 2 pagi untuk menonton tayangan siaran secara langsung walau pun hanya keseorangan.

Ini adalah lantaran perasaan dan dorongan minatnya yang berkobar-kobar. Pada hal ula ngan tayangan kepada perlawanan itu biasanya akan dibuat pada waktu siang beberapa hari kemudiannya.

Tidak bolehkah perbuatan yang sama kita lakukan untuk bersembahyang Tahajud? Kita merasa keberatan untuk bangun melakukan sembahyang tersebut kerana kita tidak dapat merasai betapa lazat dan nikmatnya sembahyang Tahajud.

Keheningan malam seolaholah akan memberi kesempatan untuk merapatkan jurang perhubungan antara makhluk dengan khaliq.

Apa yang dibaca oleh seseorang ketika bersembahyang itu seolah-olah didengar dan mendapat layanan daripada Allah Yang Maha Kuasa.

Biasanya permohonan seseorang untuk mendapat sesuatu itu cepat diterima dan dilayan apabila tidak ramai yang memohonnya.

Oleh itu mohonlah keampunan dan limpahan dari Allah ketika orang lain sedang nye nyak tidur. Berhubunglah dengan Allah ketika peluang masih ada, umur masih muda dan pintu taubat masih terbuka. Insya-Allah kita akan mendapat limpahan rahmat daripada Allah.

Didik anak dari alam rahim

SETIAP pasangan pasti mendambakan keluarga yang dibina sentiasa bahagia. Bukan mudah kerana setiap pasangan pasti pernah diduga dengan zaman sukar dan mencabar.
Kebahagiaan yang ingin digapai memerlukan pengorbanan yang didasari nilai agama serta moral yang tinggi.

Realitinya, ramai kalangan ibu bapa gagal mendidik anak mereka lantaran sikap yang tidak mengambil berat soal budi, toleransi, persefahaman serta budaya hormat menghormati dalam kehidupan mereka.
Itulah punca pelbagai konflik rumah tangga yang akhirnya memecah belahkan institusi keluarga. Jika tiada ilmu dan perubahan diri, pasti tiada jalan keluar mengecapi nikmat kebahagiaan.

Dalam Islam terdapat tiga peringkat mencapai kebahagiaan alam rumah tangga iaitu sakinah, mawadah dan rahmah. Sakinah bermaksud ketenangan, ketenteraman serta kedamaian jiwa. Maka, setiap pasangan suami isteri perlu menjalankan perintah Allah bersungguh-sungguh. Rasulullah s.a. w mengungkapkan 'Baiti jannati' iaitu rumahku adalah syurgaku. Ia adalah ungkapan tepat untuk membsentuk rumah tangga dan keluarga yang ideal.

Atas matlamat itu, Surau Al-Ikhwan, Taman Samudra, Batu Caves, Selangor mengadakan seminar Keluarga Sakinah, baru-baru ini.
Seramai 80 peserta mengikuti beberapa siri kuliah dan bengkel perunding Fokus Budi, Ustaz Sabri Abdul Rani.

Antara modul yang diketengahkan ialah seni kemahiran mendidik, musyawarah, panduan perubahan sikap, ibu bapa guru pertama dan panduan daripada Rasul.
Sabri berkata, setiap individu bertanggungjawab menentukan corak, hala tuju dan destinasi terbaik buat diri mereka.

"Dalam membentuk peribadi anak, ia bermula sejak dalam kandungan (alam rahim).

"Ketika ini ayah dan ibu elak daripada bercakap sesuatu yang negatif sehingga boleh menjejaskan perasaan pasangan masing-masing.

"Ketika hamil, suami perlu membantu menjaga emosi isteri," katanya.

Beliau berkata, zaman ini ramai ibu bapa terlepas pandang kepentingan masa berkualiti bersama keluarga.

"Kasih sayang yang rapuh menyebabkan kelonggaran dalam pembinaan keluarga bahagia.

"Perkara berkenaan disebabkan oleh masa yang terlalu banyak dikorbankan untuk kepentingan 'survival' sehingga membataskan waktu bersama anak. "Jadi, di celah kesibukan itu pastikan ada ruang untuk bertemu, bermesra dan berbincang di antara ibu bapa serta anak-anak. Lakukan solat berjemaah bagi mengikat kasih sayang," katanya.

Katanya, ibu bapa perlu mempelbagaikan karakter supaya dapat mengubah watak anak mengikut situasi dan keadaan.

"Setiap individu perlu meletak dirinya dalam keadaan terbaik di mata dan di hati ahli keluarga.

"Bagi menjaga hubungan suami isteri, jangan tinggal solat jemaah, panggil pasangan dengan panggilan baik serta elak meninggalkan pasangan untuk tempoh yang lama," katanya.

Sementara itu, pengarah program itu, Muzammir Bakri, berkata pembentukan ummah yang cemerlang bermula dari didikan di rumah.

"Keruntuhan sistem keluarga akan memecahbelahkan masyarakat. Justeru, program ini mampu menyuburkan kembali peranan ibu bapa dalam memberi perhatian serta belaian kasih sayang kepada anak-anak mereka," katanya.

Mutiara Doa 2

DOA untuk menghilangkan rasa marah
"Aku berlindung diri dengan Allah dari syaitan yang terkutuk; Ya Allah, ampunilah dosaku dan hilangkanlah kepanasan hatiku, dan lepaskanlah aku dari syaitan yang terkutuk". 
DOA ketika menghadapi kesusahan tidur
"Tiada Tuhan kecuali hanya Engkau, Maha Suci Engkau; Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menganiaya diri". 
DOA memohon taubat
"Wahai Tuhanku, maafkanlah aku kerana sesungguhnya Engkau Tuhan yang Maha Pemaaf dan mempunyai Kemuliaan".

DOA ketika mengambil wuduk
"Tuhanku, ampunilah segala dosaku, luaskanlah (lapangkanlah) rumah tanggaku dan berkatilah untukku rezekiku".

DOA mohon perlindungan daripada penyakit berat 
"Wahai Allah, sesungguhnya aku berlindung diri kepada-Mu daripada penyakit sopak, gila, penyakit kusta dan penyakit-penyakit berat". (Riwayat Abu Daud)

DOA memohon kesihatan tubuh badan (baca pada waktu pagi dan petang)
"Ya Allah, kurniakanlah kesihatan pada badan hamba, Ya Allah kurniakanlah kesihatan pada telinga hamba, Ya Allah kurniakanlah kesihatan pada mata hamba, Ya Allah, hamba berlindung kepada-Mu daripada kekufuran dan kepapaan, Ya Allah, hamba berlindung kepada-Mu daripada kesengsaraan azab kubur, tiada Tuhan melainkan Engkau".

DOA anak untuk ibu bapa 
"Ya Allah, ampunilah aku dan ampunilah kedua-dua ibu bapaku dan cucurilah rahmat kepada mereka sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil".

DOA apabila melihat orang mendapat bencana
"Segala puji bagi Allah yang menyelamatkan aku daripada penyakit atau bala yang mana kamu telah diuji dengannya; dan memberi limpah kurnia yang nyata kepadaku melebihi kebanyakan orang".

CARA berdoa yang dituntut:
1. Bersungguh-sungguh semasa berdoa.
2. Memohon dengan penuh kekhusyukkan kerana Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai.
3. Makanan, minuman serta pakaian mesti dari harta yang halal.
4. Doa itu bukan bertujuan untuk melakukan dosa, khianat, memutuskan silaturahim dan tidak sesekali memohon agar doa itu segera dimakbulkan.
5. Memperbanyakkan menyebut asmaul husna yang dimulai dengan taubat, istighfar, hamdalah serta selawat ke atas Rasulullah dan sahabat.
6. Sebelum berdoa, bersedekahlah terlebih dahulu (al-fatihah dan sebagainya).

SEBAB doa tidak dimakbulkan
1) Terasa sesuatu yang menakutkan.
2) Menangis tatkala berdoa (bukan dibuat-buat).
3) Terasa menggeletar ketika berdoa.

DOA yang selalu dimakbulkan Allah adalah doa orang yang dalam keadaan berikut:
1) Orang yang terdesak,
2) Orang yang kena zalim,
3) Anak yang berbuat baik terhadap kedua ibu bapanya serta doa seorang Muslim yang tidak berbuat zalim dan tidak memutuskan hubungan silaturahim.

Larangan dalam berpacaran

HARI BERSEJARAH...perkahwinan menyuburkan kasih sayang antara dua hati untuk mengembangkan zuriat di atas muka bumi Allah.
HARI BERSEJARAH...perkahwinan menyuburkan kasih sayang antara dua hati untuk mengembangkan zuriat di atas muka bumi Allah.
LAMAR...apabila sudah bersedia bawalah keluarga berjumpa dengan wali perempuan.
LAMAR...apabila sudah bersedia bawalah keluarga berjumpa dengan wali perempuan.
SIAPA sangka kita akan bertemu jodoh dengan seseorang yang sebelum ini tidak pernah dikenali.
Malah, dalam sekelip mata si dia sudah menjadi isteri kita. 
Itulah dinamakan jodoh yang Allah s.w.t kurniakan kepada seseorang. Zaman datuk nenek moyang kita, kebanyakan menyerahkan kepada ibu bapa untuk memilih jodoh, tiada istilah bercinta atau mengurat.

Berbeza kini, zaman siber memberi pilihan kepada anak-anak memilih pasangan sendiri. Pasti setiap pasangan ada cerita menarik detik awal perkenalan sehingga diijab kabulkan.

Jika menuntut di menara gading, pastinya banyak kenangan manis bagi pasangan bertemu jodoh.

Ada yang bermula dengan meminjam nota pelajaran sehingga menerbitkan perasaan yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

Ada sebahagian yang 'kuat' jodohnya sejak zaman persekolahan, walaupun banyak pilihan di kampus, si dia tetap menjadi pasangan ke jenjang pelamin.

Begitulah hebat tarikan kasih sayang antara lelaki dan wanita. Setiap pertemuan itu pastinya dari 'mukadimah' cinta iaitu mengurat.

Tetapi, apakah Islam membenarkan umatnya melakukan perbuatan mengurat?
Cinta itu sebagai permulaan (mukadimah) kepada perkahwinan. Tidak menjadi kesalahan mengurat jika ia membawa kepada kebaikan.

Contohnya, seorang lelaki mahu menyampaikan hasrat hatinya terhadap wanita yang dirasakan layak menjadi teman hidupnya, seni mengurat perlu ada.

Tetapi, dari sudut berbeza, mengurat mungkin membawa keburukan jika berlaku perkara yang bertentangan dengan agama iaitu perzinaan.

Akibat berzina amat buruk kerana melanggar hukum Allah. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu sangat keji dan jalan yang amat jahat". (Surah al-Israak ayat 32)

Justeru, apabila keluar dari rumah, agama menyuruh kita menutup aurat selain memelihara diri daripada keghairahan seks yang boleh membawa kepada zina.

Islam tidak menyekat fitrah manusia untuk sayang menyayangi, cuma kita dilarang jika bibit-bibit kasih sayang itu membawa kepada kemaksiatan.

Islam tidak pernah menghalang memikat atau mengurat, tetapi perlu ada seninya dan tidak melanggar batas kesusilaan antara lelaki dan wanita.

Jika seorang lelaki itu berminat terhadap seorang wanita dan mahu menjadikan teman hidup, mereka perlu berjumpa dengan wali untuk meminang.

Menjadi satu kesilapan jika terus bertemu wanita pilihannya tanpa bertemu ibu bapanya.

Kita dianjurkan mendirikan solat istikharah untuk meminta Allah perteguhkan keputusan yang ada atau petunjuk membuat keputusan yang belum ada.

Mereka yang bersolat istikharah tidak akan kecewa kerana solatnya bukan saja mencari petunjuk Allah dalam membuat keputusan yang belum pasti, tetapi meminta diperteguhkan hati melaksanakan keputusan yang pasti.

Selepas keputusan dibuat, teguhkan azam dan terus bertawakal sebelum menguruskan lamaran dengan memilih wakil yang baik untuk meminang.

Jika bersedia, bawalah keluarga berjumpa dengan wali perempuan untuk mengenali calon menantu serta menyatakan hasrat dengan lebih jelas.

Selepas kedua-duanya bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan. Selepas bertunang, haram bagi seorang wanita itu dipinang lelaki lain.

Sepanjang masa pertunangan, mereka boleh mengenali di antara satu sama lain. Ketika itu barulah dapat dirasakan keserasian sebelum majlis perkahwinan.

Sentiasa beringat bahawa bertunang bukan 'lesen' melakukan perbuatan maksiat kerana mereka belum sah sebagai suami isteri.

Ini bagi memelihara zuriat yang bakal lahir nanti. Inilah indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup umatnya.

Percintaan dalam Islam ialah hubungan cinta yang disuburkan selepas perkahwinan sehingga ke akhirnya. Tanda sebuah perkahwinan itu dizahirkan melalui hubungan suami isteri diisi penuh tanggungjawab dan kasih sayang, membentuk anak yang soleh dan solehah serta taat kepada perintah Allah.

Jadi berdoalah untuk mendapatkan keredaan Allah semata-mata dan tidak sesekali berdasar godaan nafsu dan keduniaan.

Jika masih 'berat' bertemu jodoh, jangan bersangka buruk kepada Allah. Ini pastinya satu ujian yang mengandungi 1001 hikmah.

Barangkali Allah mahu selamatkan mereka daripada mendapat pasangan tidak sesuai. Tetapi, usaha perlu dipertingkatkan agar Allah permudahkan urusan kita.
Jangan membuat keputusan tidak berkahwin selama-lamanya kerana ia bertentangan dengan fitrah dan syariat agama.

Nabi Muhammad s.a.w memberi panduan melamar seorang wanita adalah dengan melihat calon mengikut aturan yang ditetapkan syarak.

Dari Anas bin Malik, beliau berkata, Mughirah bin Syu'bah berkeinginan untuk menikahi seorang perempuan. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: "Pergilah untuk melihat perempuan itu kerana dengan melihat itu akan memberikan jalan untuk dapat lebih membina kerukunan antara kamu berdua".

Lalu dia melihatnya, kemudian menikahi perempuan itu dan dia menceritakan kerukunannya dengan perempuan itu. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Sebelum berkahwin pasangan diharuskan melihat dan berkenalan. Menurut riwayat Muslim dari Abu Hurairah bahawa Nabi pernah bertanya kepada seseorang yang akan menikahi seorang wanita: "Apakah engkau telah melihatnya?" Ia menjawab: "Belum:. Baginda bersabda: "Pergi dan lihatlah dia".

Meskipun sudah berkenalan, seseorang itu dilarang berpacaran berdasarkan ayat Quran yang menegah daripada berlakunya perzinaan.

Berpacaran bukanlah perkara yang tepat bagi mengenal pasangan. Mereka boleh mendapat maklumat daripada orang hampir dengannya seperti sahabat baiknya.

Minta penilaian daripada orang tua dan keluarga sebab mereka yang 'jatuh cinta' tidak melihat kekurangan pasangannya, bau busuk pun dikatakan wangi.

Jangan sesekali mengambil kesempatan terhadap pasangan walaupun mereka memberi isyarat berminat kepada kita.

Berikan pujian dengan ikhlas dan jujur terhadap sikap serta personaliti mereka. Jadikan mereka mempercayai kepada keikhlasan kita supaya mereka dapat berkongsi suka duka atau luahan emosi.

Janganlah bersikap keterlaluan sehingga menimbulkan pergaduhan atau rasa tidak senang kepada pasangan. Berusahalah untuk mencuci hati daripada perasaan negatif.

Untuk menjadikan semua orang di sekeliling kita berasa senang dan sayang kepada kita, bersihkan hati dengan menjaga ibadah seperti solat, membaca al-Quran, memaafkan orang lain, meminta maaf jika melakukan kesalahan, banyakkan bersedekah dan sentiasa memikirkan hal yang positif.

Dilahirkan sebagai lelaki, kita perlu banyak belajar mengenal kerenah wanita terutama menjaga perasaan, kehendak, pemikiran dan kesukaan mereka.

Cuba elakkan mencari kelemahan dan kesilapan kecil yang ada pada bakal pasangan. Apatah lagi bertindak mengutuk atau memalukan bakal mereka.

Pasangan pastinya akan tertarik kepada jika kita mengasihinya bukan kerana harta, wajah atau keturunannya.

Cari ruang untuk sentiasa mewujudkan suasana yang gembira yang dalamnya ada terselit kisah lucu.

Apa yang paling penting, carilah bakal bakal pasangan yang sekufu, setara dan sepadan dengan kita. Kehidupan yang lalui adalah 'medan' untuk terus memperbaiki diri dan belajar sesuatu perkara yang baru.

Untung dapat 'kelahiran' kedua

SESUNGGUHNYA kehidupan dunia ibarat hujan dari langit lalu menyuburkan tumbuh-tumbuhan di muka bumi.
Tiba masanya tumbuh-tumbuhan menjadi kering kontang dan diterbangkan angin. 
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia), kehidupan dunia sebagai air hujan yang Kami turunkan dari langit.
Maka menjadi subur kerananya tumbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin dan adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Surah Al Kahfi ayat 45) 
Begitu pula dengan kehidupan manusia. Ia ibarat peredaran bulan. Di awal bulan (hijriyah) terbentuk bulan sabit (kecil) lalu membesar hingga menjadi bulan purnama. 
Kemudian, pada manzilah (kedudukan) terakhir, bulan kembali mengecil sampai akhirnya tidak kelihatan lagi. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan Kami tetapkan bagi bulan manzilah (kedudukan), sehingga (setelah Dia sampai ke manzilah yang terakhir), kembalilah Dia sebagai bentuk tandan yang tua." (Surah Yaasin ayat 39)

Manusia juga begitu. Dilahirkan dalam keadaan lemah (bayi), membesar menjadi seorang pemuda atau pemudi Keadaan itu tidak berlaku lama kerana akhirnya mereka akan kembali lemah dan tua.

Allah berfirman yang bermaksud: "Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa." (Surah Ar Rum ayat 54)

Manusia dilahirkan hanya sekali dari kegelapan rahim ibunya ke alam dunia.
Namun, di sana terdapat manusia yang dilahirkan dua kali, iaitu manusia yang diberi petunjuk oleh Allah, maka mereka lahirlah kembali dari kegelapan maksiat kepada cahaya iman.

Kelahiran seperti itu tersirat dalam Firman Allah yang bermaksud: "Dan apakah orang yang sudah mati, kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang yang dengan cahaya itu ia dapat berjalan di tengah-tengah manusia serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap-gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya? Demikianlah Kami jadikan orang yang kafir itu memandang baik apa yang telah mereka kerjakan." (Surah Al An'am ayat 122)

Beruntunglah orang yang 'dilahirkan kembali' sebelum maut datang tanpa diundang. Ahli hikmah berkata: "Wahai manusia! Ketika ibumu melahirkanmu, manusia tersenyum gembira dengan tangisanmu. Maka beramallah untuk dirimu, sehingga pada hari kematianmu engkau tersenyum gembira di saat manusia menangisimu."

Menyedari hakikat itu perbaharui taubat kepada Allah. Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya (taubat nasuha). Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai..." (Surah At-Tahrim ayat 8).

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Wahai manusia! Bertaubatlah kepada Allah. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Nya setiap hari seratus kali." (Hadis Riwayat Muslim).

Rasulullah sendiri bertaubat 100 kali setiap hari, padahal baginda sudah mendapat jaminan syurga. Bagaimana pula dengan kita yang setiap hari bergelumang dengan maksiat dan dosa?

Justeru banyakkan amal soleh kerana setiap amal soleh itu tidak hanya terbatas pada mengerjakan kewajipan fardu dan melaksanakan sunnah (nawafil) saja.

Malah, meninggalkan maksiat kerana Allah juga termasuk dalam amal soleh. Pada hakikatnya setiap perkataan dan perbuatan yang dicintai oleh Allah, baik yang jelas atau yang tersembunyi, seluruhnya termasuk amal soleh.

Setiap Muslim Allah memberikan ganjaran pahala jika mereka meninggalkan maksiat kerana takutkan azab Allah. Seorang pedagang misalnya tidak mahu berlaku curang dengan mengurangi timbangan kerana takut Allah akan menurunkan azab seperti yang ditimpakan kepada kaum Syu'aib berupa gempa dahsyat (Surah Al A'raf ayat 85-93).

Dari itu, dalam mengisi sisa kehidupan di dunia cara yang terbaik bagi seorang Muslim ialah mengutamakan akhirat tanpa melupakan dunia.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia, dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan." (Surah Al-Qashash ayat 77)

Saidina Umar al-Khattab selalu mengulangi perkataannya: "Setiap hari selalu ada yang mengatakan mati si fulan...mati si fulan..." Akan datang suatu hari di mana akan dikatakan "Telah mati Umar... Telah mati Umar...'" Hal berkenaan menunjukkan kesedaran bahawa maut pasti akan datang.

Namun, tidak ada seorang pun yang mengetahui bila dan di mana mereka akan mati. Allah berfirman yang bermaksud: "...Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (Surah Lukman ayat 34).

Apabila 'nakhoda' kapal jadi suri rumah

KERJASAMA....suami isteri sama-sama bertanggungjawab menjaga anak. - Gambar hiasan
KERJASAMA....suami isteri sama-sama bertanggungjawab menjaga anak. - Gambar hiasan
MALAS BEKERJA....suami perlu mencari nafkah buat keluarga dan tidak sesekali mengambil
kesempatan atas kelebihan isteri. - Gambar hiasan.
MALAS BEKERJA....suami perlu mencari nafkah buat keluarga dan tidak sesekali mengambil kesempatan atas kelebihan isteri. - Gambar hiasan.
SUAMI sebagai nakhoda rumah tangga wajib mencari nafkah serta menyediakan keperluan terbaik buat keluarganya.
Isteri pula bertanggungjawab membantu suami menjaga anak-anak, makan minum, mengemas rumah dan kerukunan rumah tangga.
Bagaimanapun, perkembangan terkini menyaksikan ramai lelaki (suami) tinggal di rumah manakala isteri mereka mencari nafkah di luar.

Perkembangan ini tercetus berikutan masalah ekonomi dan pemberhentian pekerja yang banyak berlaku di kalangan bank, syarikat swasta dan industri.

Akibatnya, golongan lelaki yang tidak bekerja itu mengambil alih tugas wanita menjaga anak-anak, menghantar ke sekolah, memasak malah mengemas rumah.

Cerita suami menjadi suri rumah mungkin nampak pelik di zaman dulu, kini ia sesuatu yang realiti.

Ada yang melihat suami yang memilih menjadi suri rumah sebagai golongan yang 'berani' melakukan perubahan.

Namun, wajarkah aturan seperti itu berlaku dalam keluarga Islam?

Wajarkah seorang suami yang beragama Islam mengurus rumah tangga, manakala isterinya menjadi mencari nafkah buat keluarga?

Allah berfirman yang bermaksud: "Lelaki itu adalah pemimpin bagi perempuan sebab Allah melebihkan setengah mereka dari yang lain dan kerana mereka (lelaki) memberi belanja dari hartanya (untuk perempuan). (Surah An-Nisa' ayat 34)

Yang dituntut ialah suami membantu isteri melakukan kerja di rumah sebagaimana Rasulullah pernah membantu isteri Baginda.

Rumah tangga yang berjaya dan berada dalam kebahagiaan ialah di dalamnya terdapat kerjasama bersepadu antara pasangan suami isteri.

Rasulullah menempatkan akhlak sebagai jalan utama untuk mencapai kebahagiaan. Baginda tidak pernah memaksa atau memberatkan isterinya.

Menurut hukum asal dalam Islam, haram hukumnya bagi lelaki yang berumah tangga (tanpa sebab) tidak bekerja mencari nafkah.

Memandangkan kini ramai wanita memegang jawatan penting dalam sesebuah organisasi, pasti mereka bergaji lebih besar daripada suami.

Jadi, apakah ia punca suami mengambil keputusan mudah meninggalkan karier untuk duduk di rumah.

Memang ada suami ikhlas berhenti kerja untuk menjaga dan memberi pendidikan sempurna kepada anak-anaknya.

Malah, ada yang serius membuat 'persiapan rapi' dengan mengambil kursus atau kelas memasak, jahitan serta menjaga sendiri anak di rumah tanpa menggunakan khidmat pembantu rumah.

Jelas, suami tidak boleh memandang enteng perkara ini kerana ia berkaitan soal maruah seorang suami. Mungkin ada suami yang terpaksa berhenti kerja atas sebab mengidap penyakit yang memerlukan mereka berehat.

Manusia perlu memahami bahawa Allah s.w.t bijak dalam mengatur hukum di atas dunia ini. Apa yang bermanfaat dan baik saja yang digalakkan dan dibenarkan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Mereka menanyakan kepadamu: "Apakah yang dihalalkan bagi mereka?" Katakanlah: "Dihalalkan bagimu yang baik-baik" (Surah Al-Maidah ayat 4)

Wanita tidak diharamkan bekerja asalkan mereka tahu menjaga hukum yang ditentukan Islam. Sekalipun mereka bekerja, pendapatan yang diterima menjadi hak mutlak mereka.

Mereka tidak bertanggungjawab memberikan kepada suami melainkan atas dasar ihsan. Allah memberikan seorang lelaki dengan pelbagai kemampuan dan kelebihan berbanding wanita.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Bagi seorang wanita untuk menunaikan solat di tempat tidurnya adalah lebih baik dari menunaikannya di bilik dan menunaikannya di bilik lebih baik dari menunaikannya di rumah dan menunaikan di rumahnya lebih baik dari menunaikannya di masjid." (Riwayat Abu Daud, Ahmad)

Kebanyakan wanita yang bekerja bagi membantu suami dan mereka tidak sekali-kali dibebankan dengan tugas menyara keluarga walaupun pendapatan yang diperoleh besar.

Meskipun pendapatan suami kecil, mereka perlu meletakkan peranan menjadi ketua keluarga mengatasi segala-galanya.

Kedudukan sebagai ketua keluarga itu tidak akan berubah sampai bila-bila.

Kedudukan isteri yang lebih menjawat jawatan tinggi atau melebihi suami dari segi kewangan bukan alasan melepaskan tanggungjawab itu kepada isteri.

Suami yang memilih menjadi suri rumah perlu meneliti keputusan mereka itu dan kembali menerima hakikat, sebagai nakhoda mereka bertanggungjawab terhadap rumah tangga.

Perunding motivasi Human Touch Consultant, Datuk Mohd Zawawi Yusoh, berkata ada dua keadaan suami duduk di rumah.

Pertama, tiada pekerjaan kedua, sengaja mengambil kesempatan ke atas isteri yang berpendapatan tinggi.

"Di dalam Islam, suami bertanggungjawab keluar mencari nafkah untuk diberikan kepada isterinya.

"Jika ada suami enggan bekerja dan mahu menjadi suri rumah, mereka perlu meletakkan martabatnya sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab menggalas segala urusan rumah tangganya," katanya.

Beliau berkata, maruah adalah satu kedudukan tinggi yang perlu dijaga dan dipelihara.

"Jika suami menjadi suri rumah dan mengharap rezeki daripada isteri, bermakna mereka menjadi golongan menerima yang boleh diarah.

"Sebagai ketua keluarga, mereka perlu menjadi individu yang tangannya berada di atas (golongan pemberi) sesuai dengan peranan mereka sebagai pentadbir keluarga," katanya.

Mohd Zawawi berkata suami perlu memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya mengikut kemampuannya iaitu menyediakan isteri makanan yang mencukupi, pakaian mengikut keperluan serta tempat perlindungan.

"Suami yang membiarkan isteri yang mencari nafkah dan bersenang-lenang hasil pendapatan isteri adalah suami yang tidak bertanggungjawab dan menyalahi syarak.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan kewajipan suami memberi makan dan pakaian kepada isteri dengan cara yang baik." (Surah Al-Baqarah ayat 233)

Pernah Nabi Muhammad s.a.w selepas pulang daripada perang Tabuk baginda terlihat kulit tangan Saad bin Musa al-Ansari hangus kehitaman lalu mengambil tangannya dan menciumnya.

"Saad menyatakan tangannya jadi begitu disebabkan beliau mencangkul tanah untuk menanam pokok demi mencari nafkah buat keluarganya.

"Begitulah besarnya pengorbanan seorang suami yang bekerja keras mencari nafkah buat keluarga," katanya.

Beliau berkata, jika suami mengalami masalah kecacatan atau masalah lain yang tidak memungkinkan mereka bekerja termasuk terbabit dalam kemalangan, itu soal lain.

"Situasi itu di luar bidang kuasa manusia. Masalahnya, jika ada suami yang mengambil kesempatan di atas kelebihan isteri.

"Mereka hanya menjadi bebanan kepada isteri kerana duduk di rumah tanpa melakukan kerja. Suami pemalas sebegini tidak boleh menikmati hasil rezeki titik peluh isterinya dan ia menyalahi tuntutan agama Islam," katanya.