disebalik itu...

Saturday, December 4, 2010

Mencuba Pakaian Syurga


Sewaktu saya bersiar-siar di KLCC, Mid Valley, Times Square dan seribu satu pasaraya lagi, hampir setiap kali saya akan berjumpa dengan remaja Melayu yang tidak ada langsung ciri-ciri kemelayuan.
Sekali pandang persis Minah dan Mat Salleh. Rambutnya berwarna-warni, didandan pula dengan mekap beserta aksesori, ditambah pula dengan skirt singkat, memang serupa dengan orang kulit putih, cuma kulit mereka sahaja masih Melayu.
Kenapa ya? Kalau adapun remaja Melayu, jiwa dan pakaian mereka membuatkan seolah-olah saya sedang membeli belah di pasaraya ternama di New York atau Hong Kong. Hebat bukan?
Saya akui, fesyen mampu mencipta satu suasana yang berbeza. Cuba bayangkan sebentar, kamu sekarang di Mid Valley dengan berjubah, dan hampir semua manusia di sekelilingmu berpakaian jeans ketat dan berskirt singkat, bukankah kamu akan gusar?
Mana tidaknya, apa yang kita fikirkan ialah apa yang orang lain fikirkan terhadap kita. Betul?
"Eh, Minah ni, pakai jubah pula."
Dalam zaman yang serba canggih, hatta pakaian sekalipun mahu dicanggihkan (bukan jenama canggih). Saya juga hairan, entah dari mana pereka-pereka fesyen ini mendapat ilham.
Mereka mencipta pakaian dalam pelbagai versi, dedah belakang, tutup depan, dedah atas dan tutup bawah. Semua kelihatan hebat di mata kita kerana ia adalah sesuatu yang lain dalam norma masyarakat kita. Bukankah anda suka kalau anda menjadi perhatian?
Kita dan Fesyen
Teringat sewaktu saya dan dua orang teman lama bertemu, kami menghabiskan masa dengan membeli belah. Saya dan Si A mahu membeli pakaian. Al-kisah, singgahlah kami di sebuah kedai pakaian di East Cost Mall, dan ketika membeli kemeja, saya memilih kemeja yang agak labuh manakala teman saya, si A memilih kemeja biasa. Lalu saya ditegur begini :
"Eh, Aishah, kenapa labuh sangat?".
Saya tergamam. Kelu lidah seketika. Walhal sebenarnya akal saya mencari-cari idea untuk membalas soalannya yang bagi saya tidak perlu dijawab.
"Erm, memang saya suka jenis yang macam ini."
Sikap Umat Kita
Di zaman fesyen bohsia bohjan dijaja, akhlak lumat entah kemana, saya merasakan sesuatu telah hilang dalam diri kita. Sesuatu yang hilang itu yang pernah berlaku pada umat terdahulu; yang menyebabkan kita kehilangan zaman-zaman indah kegemilangan Tamadun Islam.
Apa yang Hilang?
Izzatul islam. Perasaan bangga dengan Islam. Saya percaya umat kita sudah hilang perasaan bangga sebagai seorang Muslim. Mana tidaknya, kita sendiri yang merasa malu apabila berpakaian mengikut syariat, apabila tidak berhias, berdandan dan tidak mengikut trend fesyen.
Seolah-olah Muslim yang mengikut syariat tergolong dalam golongan yang terasing jika berpakaian menutup aurat kerana kebanyakan manusia berfesyen dengan fesyen dedah-dedah.
Ada satu lagi cerita. Harap siapa yang sudi membaca tidak jemu.
Saya berasal dari sebuah sekolah biasa, maka adab dan sosial pelajar-pelajar juga biasa-biasa sahaja. Apabila saya dan kawan bertudung jenis kain akel, saya dan teman baik dipanggil ustazah. Tinggi sungguh penghargaan yang diberi pada kami.
Suatu hari, kawan saya memakai tudung labuh. Usai solat Isyak di surau sekolah, dia keluar. Merah padam mukanya apabila memasuki kelas gara-gara semua mata memerhatinya dari surau sehingga ke kelas. Terpaksalah dia menyorok seketika di dalam tandas.
Saya tahu, barangkali kamu terlupa sekali-sekala untuk memakai lengan panjang, terlupa untuk menutup rambutmu yang ikal mayang, terlupa untuk memakai seluar di bawah paras lutut dan seribu satu lagi kelupaanmu.
Tapi kamu jangan lupa, malaikat yang mencatat amalanmu di kiri dan kanan tidak pernah lupa untuk menulis amalanmu. Dan yang paling kamu tak boleh lupa, Pencipta kita sentiasa memerhatikan kita. Maha Suci Allah dari sifat hamba-Nya yang pelupa. Kalau hari-hari lupa, sampai bila kesudahannya?
Barangkali juga kamu tahu menutup aurat penuh itu wajib. Cuma kamu masih belum kuat untuk berubah. Kamu tahu, memakai tudung perlu menutup dada, memakai baju jangan yang ketat-ketat dan nipis, apabila berhias biarlah berpada-pada.
Tetapi kamu jangan lupa, kekuatan itu datangnya dari iman. Dan iman itu datangnya dengan keyakinanmu pada janji Tuhan. Apa kamu sudah lupa mengapa Allah memberi arahan sedemikian?
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (An-Nur :31).
Maka saya membuat kesimpulan peribadi. Kebanyakan kita berpakai mengikut undang-undang budaya bukan syariat lagi. Kalau tidak, mana lahirnya golongan pakai jubah tapi tak bertudung, apabila bertudung pula, baju hampir-hampir tanpa lengan, kain pula terbelah depan belakang?
Kalau lelaki pula, seluar ketat-ketat, seluar singkat-singkat. Mungkin begini, lahir-lahir ibu bapa pakai begitu, maka anak-anak juga mengikut apa yang dipakai ibu bapa. Kita pakai ikut budaya tanpa tahu dalilnya?
Prejudis Terhadap Umat Sendiri
Seringkali bila memikirkan masalah umat, saya hairan, mengapa umat Islam lewat zaman ini bersikap prejudis terhadap saudara sendiri? Mengapa apabila ada yang cuba-cuba "berhijrah" ke arah yang lebih baik, akan ada nada-nada sumbang di belakang yang memandang serong?
Bukannya mahu diambil yang jernih dibuang yang keruh. Apatah lagi memberi sokongan, tapi ia dipulaukan pula semata-mata kerana mentaati perintah Allah. Masya-Allah saudaraku, cepat-cepatlah hisab diri!
Sabda Nabi Junjungan
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasululah saw. ,"Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing." -H.R. Muslim
Lihatlah saudaraku, Islam kembali asing di akhir zaman ini dan dirasa ganjil dari pandangan dunia, bahkan pada pandangan orang Islam sendiri. Kita sendiri yang merasa ganjil dan pelik tatkala melihat orang Islam yang iltizam dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar.
Seorang yang iltizam dengan Islam dipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang normal di kalangan mereka.
Dan begitulah seterusnya nasib lslam di akhir zaman. Ia akan terasing dan tersisih dari masyarakat, bahkan tersisih dari pandangan orang Islam sendiri yang mengaku sebagai umat Islam dan marah apabila dikatakan yang dia bukan orang Islam.
Daripada Anas r.a. bekata, Rasulullah saw. bersabda, "Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api." H.R. Tirmizi
Di zaman yang sangat mencabar ini, sesiapa yang hendak mengamalkan ajaran Islam terpaksa menghadapi kesusahan dan tentangan yang sangat hebat. Kalau tidak bersungguh-sungguh, nescaya Islam terlepas dari genggamannya.
Kerana apa? Kerana umat Islam sendiri tidak membantu untuk dia menunaikan kewajiban agamanya, bahkan apa yang ada disekelilingnya mendorong untuk membuat kemaksiatan dan perkara-perkara yang dapat meruntuhkan aqidah dan keimanan atau paling kurang menyebabkan kefasiqan. Jadi kesimpulannya, orang Islam tersepit dalam melaksanakan tuntutan agamanya di samping tidak mendapat kemudahan.
Lecehnya Islam
Ada yang mempersoalkan, kenapalah perempuan diperintahkan menutup aurat hampir keseluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan? Kenapa lelaki tidak?
Jawapannya pada saya mudah. Kerana yang Allah perintahkan untuk kita tutup itu adalah yang indah-indah belaka. Tanpa perlu lagi dikiaskan dengan analogi palsu yang sudah dihadam oleh kita (analogi permata dalam bungkusan), kita pasti faham. Buktikan pada saya, dimana perempuan tidak cantik?
Tiada.
Tapi lelaki, diberatkan pula dengan amanah dan tanggungjawab. Menjadi lelaki bagi saya umpama bakal memikul sebeban gunung. Mana tidaknya, kalau sudah berkahwin, keluarga sendiri perlu dijaga, ibu dan ayah perlu diutama, anak isteri juga dipikul dosa, nafkah pula perlu diusaha, bukankah itu amanah besar dari Tuhan?
Saya menulis ikhlas dari hati. Untuk kakak, adik, ibu, ayah, abang, kawan, teman, dan Muslim semuanya. Semua ini tanda kasih dan sayang bersama. Kerana saya tahu, syurga dicipta untuk semua hambanya. Maka,saya mahu masuk bersama kalian. Sungguh, syurga itu mahal nilainya, dan jalan menujunya tidak semudah yang kita sangka. Maka, berubahlah dari sekarang.
Yang lebih menakutkan apabila direnungi hadis Nabi di bawah :
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda : "Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni Neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya".
Marilah kita sama-sama berubah menuju ke jalan-Nya.

hadith Qudsi - Allah mengampuni dosa selagi mana hambaNYA meminta ampun.

Daripada Anas Bin Malik beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda,yg bermaksud,

Allah berfirman :

" Wahai anak Adam,selagi mana engkau berdoa kepadaku dan mengharapkan Daku,Aku akan mengampunimu bagi setiap kesalahanmu dan tidaklah Aku peduli.Wahai anak Adam,sekiranya dosa-dosamu mencapai awan di langit kemudian engkau memohon keampunanKu,Aku akan mengampunimu dan tidaklah Aku peduli.Wahai anak Adam sesungguhnya jika kamu datang kepadaKu hampir sepenuh bumi dengan dosa kemudian kamu menemuiKu tanpa mempersekutukan Daku dengan sesuatu pun,Daku akan mendatangimu dengan hampir sepenuh bumi keampunanKu "

-hadith hasan,diriwayatkan oleh At-Tirmidzi-

dipetik daripada Mustika Hadis-Hadis Al-Qudsi Sahih jilid 1 karangan 'Isomuddin bin Saiyyid Abdul Robbuni Al-Soobaathi.

Ya Allah..ampunkan daku,hamba yang lemah ini..

~ subhanallah..mulianya ALLAH dengan sifat Maha Pengampun..

~sentisalah kita muhasabah diri..andai ada melakukan dosa,segeralah bertaubat kepada ALLAH tanpa lengah..kerna tiap saat yang berlalu,yang dilalui dan yang mendatang belum tentu milik kita..

Virus Cinta Virus Benci


Tersebutlah sebuah kisah, di sebuah bangunan syarikat pengendalian urusniaga, seorang General Manager Azmi M Karim, sedang memeriksa portfolio yang baru sahaja disiapkan oleh seorang berjawatan Manager, Ahmad Kasim. Kebetulan pada hari itu, pendingin hawa bilik milik Azmi rosak. Maka dia meminta Ahmad untuk membuka tingkap pejabatnya yang berada di tingkat 11 sementara dia memeriksa portfolio Ahmad.
Ahmad begitu yakin bahawa Azmi akan terpukau melihat hasil kerja yang begitu mantap, kerana ini kali kedua Ahmad yang baru sahaja naik pangkat menghantar portfolionya. Tapi keyakinannya mula rapuh bila melihatkan bosnya membulatkan mata dan mengerutkan dahi. Azmi dengan serta merta menghentam fail ke arah meja dihadapan Ahmad. Ahmad menundukkan kepala dan membongkokkan badan. Dia takut dan hairan.
" Eh, apa yang aku salah buat? Aku dah buat ikut format, aku hantar sebelum deadline, aku dh susun maklumat dengan kemas? "
Sejenak berfikir, timbul prasangka bahwa maklumat yang diperolehinya untuk portfolio itu salah.
" Ini mesti salah diorang ni! Maklumat semua aku dapat dari diorang, " bisik Ahmad.
Fikiran Ahmad terhenti, terdengar suara umpama ngauman singa yang ingin menyerang.
" Apa ini!!? Mana kamu dapat maklumat ini!!? Sejak bila syarikat kita membeli barangan ini sebanyak tiga puluh ribu unit!!? "
" Ini!!, Ini!, Ini! Semuanya salah! "
Jari telunjuk Azmi melompat-lompat di atas kertas portfolio tadi.
" Buat balik semua! Dan saya nak tengok dokumen ini diatas meja saya hari Khamis nanti! "
Ahmad keluar selepas meminta maaf atas kesilapannya dan keluar dari pejabat Azmi. Dia berjalan dengan langkah yang laju dan hentakan yang kuat. Dia berasa begitu malu dan marah.
" Celaka, siap korang. Memang nak sabotaj aku. Ah! "
Sampai saja di pejabatnya, dia terus menuding-nuding jari sambil berkata dengan jelas dan lantang,
" Salim! Kamsah! Mana kamu dapat maklumat yang kamu bagi hari itu!!? Kamu dua sengaja beri maklumat palsu ke apa!!? Dengki aku naik pangkat ke apa!!? "
" Aku nak korang check balik dan bagi aku maklumat tu by pagi esok!! Dan aku nak korang pastikan kali ni maklumat tu semuanya betul!! "
Sebaik saja suara Ahmad senyap, terdengar dentuman kuat pintu biliknya dari luar pejabat. Mulalah mereka yang terdengar membuat andaian masing-masing.
Salim dan Kamsah saling berpandangan, kedua-dua berasa hairan. Dan masing-masing mula merasa kurang selesa kerana kedua-duanya mula menuduh selain diri masing-masing kerana kesalahan maklumat.
Keadaan menjadi suram....
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Petang itu Ahmad hendak pulang ke rumah dan menuju ke arah tempat letak kereta. Masih lagi menyimpan rasa marahnya terhadap orang bawahannya. Terkumat-kamit bibirnya tentang kesalahan Kamsah dan Salim. Perasaannya semakin "panas" kerana dia tersekat dalam kesesakan lalu lintas yang hampir setiap hari dilalui olehnya.
Di rumah, isteri Ahmad, Salwa merasa letih dan sedikit malas. Dia duduk di sofa di kawasan ruang tamu sambil melihat skrin televisyen yang hitam. Anak perempuan kecilnya berasa aneh melihat ibunya melihat televisyen yang belum dibuka.
" Ummi tengok apa tu? Kenaae ummi tak on tv? Ummi sedih tak jumpe remote ke? " anak comel itu bertanya.
Salwa senyum dan memeluk dan bertanya kembali kepada anaknya,
" Nisa nak pegi makan di luar tak malam ni? Nak makan kat KFC? Atau kedai Mak Teh? Kan Nisa suka makan nasi goreng di kedai Mak Teh? "
Anak kecil itu senyum tanda setuju, dan berlari masuk ke bilik untuk bermain dengan patung kura-kuranya dan kucing yang dibelanya.
Salwa senang hati melihat gelagat anaknya. Salwa bercadang untuk menonton televisyen sementara menunggu kepulangan suaminya dari kerja. Baru saja tangan Salwa mencapairemote control, terdengar bunyi deruman enjin dihadapan rumah. Salwa membatalkan niatnya tadi dan terus berjalan menuju ke pintu. Salwa senyum sambil menyandarkan bahu kanannya di pintu sementara menunggu suaminya keluar dari kereta. Melihatkan suaminya menghampirinya, Salwa ingin menyampaikan hajatnya untuk makan malam di luar.
Tapi Ahmad, dari pintu keretanya lagi sudah merasa hairan kenapa isterinya dalam keadaan baju tidur berdiri menyandar di pintu hadapan rumah. Terus lantang suaranya bagai menjerit
" Kenapa ni dok tercegat dekat pintu dengan baju tidur!? Tak malu ke jiran semua tengok!? Masuk! Pergi masak! Abang dah lapar ni! Jangan banyak cakap! "
Salwa tergamam dan terus memalingkan badannya berjalan ke arah dapur tanpa berkata apa-apa. Hatinya merajuk.
Nisa keluar dari biliknya dan terus mencari Salwa di dapur. Nisa menarik baju Salwa di paras pinggangnya dan bertanya dengan nada suara yang comel,
" Ummi, malam ni Nisa nak makan di kedai Simpang Tigalah, dah lama Nisa tak makan mee sup. Mee sup situ sedaaaap"
Salwa menjawab dengan nada suara tegas, tanpa melihat ke arah mata si kecil yang comel,
" Tak jadi, duduk diam-diam, ummi sibuk, jangan main di dapur, main kat luar "
Nisa melepaskan jarinya dari kain ibunya dan memeluk erat patung kura-kuranya. Nisa takut, dia dapat merasakan aura kemarahan ibunya. Dia berjalan ke ruang tamu, dan melihat ayahnya, dia juga takut melihat muka ayahnya, secara tidak sedar, dia dapat membaca hati ayahnya yang tidak tenang. Nisa hampa dan berjalan kembali ke dalam bilik.
Dalam perjalanannya, kucingnya menggesel-geselkan kepalanya di kaki Nisa. Nisa membalas geselan kucing itu tadi dengan menghasilkan bunyi seperti kucing yang marah. Nisa mengendahkan kucing itu tadi dan terus baring di atas katilnya dan tidur.
Tamat Cerita
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Lihatlah, bagaimana perasaan benci dan marah boleh berjangkit-jangkit. Bagaimana perasaan benci dan marah boleh menyebabkan fi tnah. Bagaimana perasaan benci boleh mempengaruhi seorang anak kecil.

Cuba bayangkan bagaimana jalan cerita ini jika setiap perasaan benci ditukarkan menjadi sayang. Iaitu saling memaafkan, saling memahami, dan saling bersikap lembut.
  •  Sudah tentu Ahmad tidak ditengking oleh Azmi.
  •  Sudah tentu Kamsah dan Salim ditegur akan kesalahan mereka dengan tidak meninggikan suara serta tuduhan dan andaian.
  •  Sudah tentu Salwa dipeluk erat suaminya sebaik saja masuk ke rumah.
  •  Sudah tentu Nisa dapat merasakan mee sup di kedai makan di simpang tiga.
  •  Dan sudah tentu kucing Nisa dibelai-belai sehingga tertidur manja.
Lihatlah. Bagaimana perasaan sayang juga boleh berjangkit-jangkit! Bagaimana perasaan sayang boleh menghentikan perjalanan kitaran benci.
Rasulullah ada bersabda:
" Awasilah diri kamu daripada sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam. "
[HR Abu Said Al-Khurdi ]
" Penyakit umat sebelum kamu telah menular kepada kamu; iaitu hasad dengki dan permusuhan. Permusuhan tersebut ialah pengikis atau pencukur, Saya tidak maksudkan ia mencukur rambut, tetapi (yang saya maksudkan) ialah ia mengikis agama. "
[HR Al-Baihaqi]
Pilihan sentiasa ditangan kita. Sama ada untuk marah atau tidak. Apa gunanya melantangkan suara seperti hilang kewarasan? Cukuplah dengan suara yang tegas. Contohilah sikap para Rasul, para para Nabi, dan para Sahabat. Beringat-ingatlah kita, perasaan marah dan benci itu datangnya dari syaitan, dan perasaan sayang itu adalah dari rahmat Allah.
Contoh dari Hadis (kisah) untuk dijadikan teladan
Abu Hurairah dan Said Al-Magburi meriwayatkan:
" Ada seseorang lelaki memarahi Saidina Abu Bakar. Ketika itu Rasulullah duduk di sebelahnya. Nabi diam saja, begitu juga Abu Bakar.
Selepas orang itu selesai memaki hamun dengan mengeluarkan kata-kata kesat, Abu Bakar membalas makian itu, tetapi Rasulullah bangun dan beredar dari situ. Abu Bakar hairan dan terus mengekori Nabi Muhammad sambil berkata: "Ya Rasulullah, dia memaki saya dan engkau pula diam. Ketika saya menjawab maki hamun itu, tiba-tiba engkau bangun lalu pergi."
Rasulullah lantas menjawab: "Sesungguhnya malaikat mengembalikan semua makian orang itu kepadanya ketika engkau diam, tetapi ketika engkau membalas makian itu, maka malaikat pergi dan syaitan pula masuk dan saya tidak suka duduk bersama syaitan."
Rasulullah kemudian bersabda lagi: "Allah akan memuliakan hamba-Nya ketika sedang dianiaya lalu memberikan kemaafan sambil mengharapkan keredhaan Allah. "
Sesungguhnya Allah dan juga rasulnya juga yang lebih mengetahui.
Bersama kita beramal seperti seorang muslim sehingga kita layak untuk melaungkan tanpa keraguan:
" Saksikanlah, aku seorang Muslim! "